Malaysia - Kanada perbaharui komitmen, tingkat kerjasama dua hala
Astro Awani
Disember 13, 2022 18:04 MYT
Disember 13, 2022 18:04 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan Kanada memperharui komitmen dalam meningkatkan hubungan dua hala ke arah yang lebih tinggi melibatkan isu perdagangan, pelaburan serta pengukuhan institusi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan komitmen berkenaan ketika dihubungi Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada Selasa.
Menurut Anwar, perbincangan bersama Justin melibatkan potensi kerjasama baharu antara Malaysia dan Kanada dalam pelbagai lapangan termasuk pendidikan, tenaga boleh diperbaharui, serta hubungan sesama insan.
"Terima kasih atas sokongan. Saya akan memastikan kementerian yang berkaitan akan memberi tumpuan kepada Kanada.
"Sudah tentu kami menghargai pengalaman anda (Kanada), saya fikir anda boleh menyumbang dari segi kebertanggungjawaban demokrasi, memperkukuhkan institusi serta juga memberi tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan ke Malaysia," kata Anwar.
Sementara itu, Justin berkata, Kanada menghargai komitmen dan sokongan Malaysia selama ini dan mahukan kedua-dua negara mengukuhkan hubungan strategik termasuk memfokuskan isu keselamatan dan inflasi.
Malaysia dan Kanada menyaksikan peningkatan dalam hubungan kerjasama dua hala sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1957, dengan nilai dagangan dua hala mencecah RM10.58 bilion pada tahun 2021.
Manakala, nilai pelaburan Kanada dalam sektor pembuatan Malaysia dalam tempoh 40 tahun kebelakangan adalah RM789 juta.