Malaysia kalau kuat, nak kenakan sekatan ke atas Trump - Tun Dr Mahathir

Firdaus Azil
Disember 21, 2019 15:06 MYT
Sambil menganggap ia adalah perbuatan jenayah, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan sekatan dagangan itu memberikan kesan besar kepada mereka yang berdagang dengan negara berkenaan. - Foto Bernama
“Jika saya boleh, saya nak kenakan sekatan dagangan (sanction) ke atas Trump (Presiden Amerika Syarikat Donald Trump), tetapi saya tidak boleh,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Itu tegas Perdana Menteri ketika menyuarakan ketidakpuasan hati beliau terhadap tindakan segelintir negara besar yang membuat keputusan unilateral mengenakan penalti atau sekatan dagangan terhadap negara lain yang dianggap lebih lemah.
Sambil menganggap ia adalah perbuatan jenayah, beliau berkata, tindakan sekatan dagangan itu memberikan kesan besar kepada mereka yang berdagang dengan negara berkenaan.
“Ketika mereka mengenakan sekatan dagangan ke atas Iran, Malaysia kehilangan peluang untuk berdagang di Iran, sedangkan Iran merupakan pasaran yang cukup besar untuk negara ini. (Akibat sekatan AS itu), dagangan Malaysia-Iran berkurangan hampir kepada kosong.
“Ini hanya boleh dilakukan oleh negara yang kuat, tetapi tidak untuk negara kecil dan lemah seperti Malaysia,” katanya kepada sidang media selepas selesai Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019), di sini hari ini.
Dalam ucapan penutupnya terdahulu, Dr Mahathir berkata, Malaysia dan negara Islam lain perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan sekatan dagangan yang boleh dikenakan ke atas mereka.
BACA: Bila-bila masa Malaysia boleh disekat seperti Iran dan Qatar - Dr Mahathir
Menyentuh mengenai pencapaian dalam sidang kali ini, Perdana Menteri berkata, beberapa negara peserta termasuk Malaysia telah menandatangani beberapa perjanjian, dalam bidang seperti aeroangkasa, keselamatan makanan, pertahanan dan sebagainya.
“Ada negara Muslim yang sangat kaya, tetapi untuk bidang tertentu, peluang mereka melabur di Malaysia pada masa kini agak terhad. Kita melihat kemungkinan pelaburan dalam peralatan pertahanan dari beberapa negara Muslim.
“Kita juga perlukan kemasukan duit untuk dilaburkan dalam bidang hartanah, kewangan, dan lain-lain lagi. Bagi negeri Muslim yang miskin, mereka seharusnya bersedia untuk menerima kemasukan pelaburan asing seperti ini, terutama sekali jika ia datang dari negara Muslim yang lain,” katanya.
#Amerika Syarikat #Donald Trump #Dr Mahathir #Iran #KL Summit 2019 #Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #Qatar #sanction #sekatan dagangan #Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 #Tun M #Tun Mahathir
;