Malaysia kaji semula pendekatan terhadap pertanian - Mustapa

Bernama
Disember 17, 2020 16:24 MYT
Sektor pertanian adalah penting kepada ekonomi, terutamanya apabila pandemik COVID-19 telah membawa perspektif baharu mengenai jaminan makanan dan mewujudkan pekerjaan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia merancang untuk mengkaji semula pendekatannya terhadap pertanian dengan memodenkan sektor itu dan melaksanakan pertanian pintar untuk meningkatkan pendapatan petani dan memajukan sektor tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sektor itu adalah penting kepada ekonomi, terutamanya apabila pandemik COVID-19 telah membawa perspektif baharu mengenai jaminan makanan dan mewujudkan pekerjaan.
"Pada masa depan, kami mahu memastikan sektor ini terus berkembang. Pertanian pintar akan menjadi subjek yang penting.
"Kami mahu memodenkan pertanian, mendapatkan lebih banyak teknologi dan menggalakkan golongan muda menyertai sektor ini," katanya pada sesi dialog dengan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia, Dr Firas Raad.
Sesi itu diadakan bersempena dengan pelancaran laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia 'Sowing the Seeds', yang terkini secara maya oleh Bank Dunia hari ini.
Dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, kerajaan turut merancang untuk mentransformasikan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dengan mempelbagaikan aliran pendapatan peneroka, yang kini bergantung kepada penanaman kelapa sawit dan getah.
Sebagai contoh, Mustapa berkata penternakan lembu mungkin antara bidang yang berpotensi untuk dipertimbangkan.
Sementara itu, dalam ucapannya, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata sehingga 2019, sektor pertanian menyumbang kira-kira 11 peratus daripada pekerjaan dan 7.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Pengukuhan sistem agro makanan Malaysia akan membolehkan ekonomi mencapai bidang keutamaan lain seperti kemakmuran bersama, dengan memperkenalkan langkah-langkah yang dirangka untuk meningkatkan pendapatan petani, mewujudkan peluang pekerjaan dalam bidang pertanian dan meningkatkan eksport agro.
Beliau berkata Rancangan Malaysia Ke-12 -- yang sedang dimuktamadkan, akan dibentangkan pada tahun depan -- merupakan peluang kepada Malaysia untuk menggariskan dengan jelas potensi sektor pertanian dan peranan kerajaan dalam memudahkan transformasinya.
Mustapa berkata Malaysia boleh membina sektor pertanian yang lebih responsif terhadap ekonomi makanan kontemporari negara, termasuk membangunkan kapasiti untuk membekalkan lebih banyak makanan bernilai tinggi untuk rantau ini dan Malaysia - termasuk pelbagai beras wangi.
"Malaysia juga boleh menjadi peneraju dalam membekalkan produk yang 'sihat dan selamat' ke rantau ini, dan melabur lebih banyak dalam modal insan yang diperlukan untuk mentransformasikan kompleks agro makanan Malaysia.
"Ini termasuk melatih dan menarik generasi usahawan sistem agro makanan yang akan datang dalam pelbagai bidang," katanya.
Menurut laporan 'Sowing the Seeds', ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 6.7 peratus pada 2021.
Pertumbuhan itu akan didorong oleh pemulihan terhadap permintaan pengguna yang lebih cepat daripada jangkaan, keyakinan pelabur yang lebih baik, dan pemulihan yang lebih kukuh dalam aktiviti ekonomi domestik; berikutan unjuran penguncupan sebanyak 5.8 peratus pada 2020 disebabkan pandemik COVID-19.
"Dalam risiko terhadap kesihatan yang berkurangan dan ekonomi yang terus mencatatkan pemulihan, usaha perlu beralih secara berperingkat daripada memberi tumpuan kepada dasar jangka pendek kepada memudahkan penyesuaian ekonomi untuk membolehkan pertumbuhan baharu dalam persekitaran pasca pandemik," menurut Bank Dunia.
-- BERNAMA
#Malaysia #pertanian #memodenkan pertanian #pertanian moden #Mustapa Mohamed #menteri #ekonomi #COVID-19 #Keselamatan makanan #food security
;