Malaysia, Jordan bincang kerjasama dua hala di luar sidang tergempar OIC - PM Anwar
Bernama
November 12, 2023 17:58 MYT
November 12, 2023 17:58 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Raja Jordan Raja Abdullah II di luar Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh.
Menerusi catatan di Facebook hari ini Perdana Menteri berkata pertemuan beliau bersama Raja Abdullah II berlangsung dalam suasana penuh santai dan harmoni.
"Pertemuan itu juga membibitkan lagi peluang kerjasama dua hala Malaysia-Jordan selain lawatan peringkat tertinggi kedua-dua negara pada 2024 dan kerjasama sektor swasta khususnya teknologi dron dan kerjasama ketenteraan.
"Kami turut membincangkan keperluan untuk menangani ketegangan di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis, terutamanya serangan oleh pendatang Israel terhadap penduduk Palestin," katanya.
Menurut Anwar pertemuan itu antara lain membincangkan usaha untuk menghentikan perang di Gaza, selain membincangkan mengenai krisis kemanusiaan yang menjejaskan penduduk yang tidak bersalah di rantau itu.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim
#sidang tergempar
#Raja Jordan
#Raja Abdullah II
#oic
#Riyadh
#perang Palestin Israel