Malaysia, Jerman perkukuh hubungan dan kerjasama pertahanan

Bernama
Februari 19, 2024 22:10 MYT
Perkara itu dizahirkan dalam pertemuan bilateral Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan rakan sejawatnya Boris Pistorius. - Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Jerman komited untuk memperkukuh hubungan, kerjasama dan diplomasi pertahanan, termasuk dalam soal peluang latihan bersama, program pendedahan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pembangunan industri pertahanan tempatan.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dizahirkan dalam pertemuan bilateral Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan rakan sejawatnya Boris Pistorius.
Mohamed Khaled mengadakan lawatan rasmi ke Jerman dari 15 hingga 18 Februari lepas.
"Lawatan rasmi Menteri Pertahanan ke Jerman ini dilihat penting dalam memastikan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan negara-negara rakan kerjasama pertahanan terus diperkukuh.
Perkara itu selaras dengan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara dan Perkongsian Wibawa yang termaktub dalam Kertas Putih Pertahanan," katanya.
Semasa lawatan itu, Mohamed Khaled dan delegasinya turut menyertai Persidangan Keselamatan Munich (MSC) yang berlangsung dari 16 hingga 18 Feb lepas.
"MSC merupakan persidangan keselamatan tertinggi yang dianjurkan oleh Jerman sejak 1963 dan melibatkan penyertaan Menteri Pertahanan, Ketua Angkatan Tentera, dan pemimpin kerajaan dari rantau Eropah dan seluruh dunia.
"MSC yang menyambut ulang tahun ke-60 tahun ini telah menjadi platform antarabangsa penting untuk pertukaran pandangan mengenai dasar keselamatan antarabangsa," kata Kementerian Pertahanan.
Mohamed Khaled juga sempat mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen untuk membincangkan isu strategik serantau serta kerjasama dua hala.
Kementerian Pertahanan memaklumkan Malaysia dan Singapura komited untuk mempertingkatkan peranan ASEAN dalam konteks pertahanan dan akan terus mendukungnya melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM).
"Semasa lawatan itu Menteri Pertahanan turut bertemu dengan Menteri Pertahanan Kanada Bill Blair bagi membincangkan pelbagai isu dan kedinamikan aspek pertahanan termasuk dalam diplomasi pertahanan, kesan perubahan iklim dan potensi masa depan hubungan Kanada dengan rantau ASEAN," katanya.
Pada masa yang sama, selain daripada persidangan dan pertemuan-pertemuan bilateral tersebut, Mohamed Khaled dan delegasi turut mengadakan lawatan ke pejabat Brainlab AG dan bertemu dengan kumpulan syarikat Rheinmetall.
"Delegasi Malaysia telah diberikan taklimat dan penerangan mengenai teknologi dan inovasi terkini syarikat-syarikat berkenaan dalam bidang perubatan dan pertahanan.
"Menteri Pertahanan dan wakil-wakil industri turut membincangkan usaha-usaha yang boleh dilaksanakan dalam meningkatkan kerjasama di antara industri Malaysia dan Jerman," katanya.
-- BERNAMA
#Malaysia #pertahanan #ASEAN #Khaled Nordin #Jerman
;