Malaysia-Jepun komited perkukuh perkongsian strategik komprehensif

Astro Awani
September 23, 2024 17:19 MYT
Mohamad Alamin (kanan) bersama Masahiro Komura dalam pertemuan empat mata pada Isnin. - Foto FB Mohamad Alamin
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Jepun menggariskan komitmen bersama untuk terus mengukuhkan perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua negara.

Ringkasan AI
  • Komitmen Mengukuhkan Perkongsian Strategik: Malaysia dan Jepun bersepakat untuk terus memperkukuh perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua negara.
  • Peningkatan Kerjasama Pelbagai Bidang: Kedua-dua negara membincangkan peningkatan kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pertahanan, pelancongan, pendidikan tinggi, dan tenaga hijau.
  • Pertukaran Pandangan Isu Serantau dan Antarabangsa: Mohamad Alamin dan Masahiro Komura bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk Hubungan Dialog ASEAN-Jepun dan situasi di Gaza.

Komitmen itu dinyatakan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dalam mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya dari Jepun Masahiro Komura di sini hari ini.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan peningkatan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, serta memperkukuh kerjasama sedia ada dalam bidang pertahanan, pelancongan, pendidikan tinggi dan tenaga hijau.
Mohamad dan Komura turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk Hubungan Dialog ASEAN-Jepun dan peperangan di Gaza.
Komura mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada 22 hingga 23 September dalam rangka lawatan beliau ke Asia Tenggara.
Ini merupakan lawatan pertama Komura ke Malaysia sejak dilantik pada September 2023.
Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia untuk sembilan tahun berturut-turut. Pada tahun 2023, jumlah dagangan antara Malaysia dan Jepun bernilai RM156.64 bilion (AS$34.39 bilion).
#Mohamad Alamin #Jepun #Malaysia #pelaburan
;