Malaysia jadi tuan rumah Forum Pelancongan ASEAN tahun depan

Bernama
Januari 29, 2024 18:23 MYT
Penyerahan itu merupakan satu lagi peristiwa penting bagi negara apabila Malaysia kembali menjadi tuan rumah ATF sejak acara terakhir diadakan di Kuching, Sarawak, pada 2014. -Facebook Tiong King Sing
VIENTIANE: Malaysia secara rasmi akan menjadi tuan rumah Forum Pelancongan ASEAN 2025 (ATF 2025) selepas sesi penyerahan yang diadakan pada Jumaat sempena penutupan ATF 2024.
Penyerahan itu merupakan satu lagi peristiwa penting bagi negara apabila Malaysia kembali menjadi tuan rumah ATF sejak acara terakhir diadakan di Kuching, Sarawak, pada 2014.
Menerima baton penyerahan ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Tiong King Sing.
"Kami amat mengalu-alukan anda semua ke negara kami kerana kami melihatnya sebagai satu acara penting dan tepat pada masanya untuk Malaysia, terutamanya ketika kami bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia yang akan berlangsung pada tahun 2026.
"Menjadi harapan kami bahawa Malaysia akan menjadi destinasi seterusnya untuk anda terokai...," kata Tiong, lapor Agensi Berita Lao (KPL).
Dikenali dengan budaya dan biodiversiti yang kaya, Malaysia menawarkan pelbagai pengalaman kepada pengunjung. Ini termasuk keramahan penduduknya, tradisi unik, hidangan yang lazat dan persekitaran semula jadi yang menakjubkan.
Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.
-- BERNAMA
#Tiong King Sing #Forum Pelancongan ASEAN 2025 #ATF 2025 #tuan rumah
;