Malaysia jadi negara pertama peroleh Tasreh operasi 20 ambulans
Bernama
Mei 25, 2024 12:50 MYT
Mei 25, 2024 12:50 MYT
MEKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Pusat Rawatan Madinah dan Mekah sekali lagi melakarkan kejayaan, apabila berjaya memperoleh permit operasi atau Tasreh untuk 20 ambulans yang dimiliki.
Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata perkara itu sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara pertama berjaya mendapat permit itu untuk menjalankan operasi ambulans untuk jemaah haji di Jeddah, Mekah dan Madinah bagi musim haji kali ini.
"Tiga daripada ambulans ini ditempatkan di Pusat Rawatan di Madinah manakala bakinya ditempatkan di Pusat Rawatan TH Mekah dan beberapa buah kenderaan lagi ditempatkan khusus di beberapa tempat penginapan jemaah haji," katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH di sini semalam.
Beliau berkata paling membanggakan kesemua permit ambulans milik TH ini dikategorikan dari jenis advanced life support yang mempunyai kemudahan dan kelengkapan sehingga boleh memberi bantuan kepada life support.
Menjelaskan lagi permohonan mendapatkan Tasreh itu, Syed Saleh berkata usaha itu mengambil masa berikutan perlu melalui beberapa prosedur antaranya permerhatian dan pemeriksaan ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi, termasuk Bulan Sabit Merah dan Kementerian Kesihatan Arab Saudi.
"Pemeriksaan yang dilakukan amat ketat kerana ia bukan hanya melihat kepada kenderaan itu sendiri tetapi kemudahan dan setiap peralatan yang disediakan dalam ambulans, jadi ada satu senarai panjang untuk dilihat satu persatu untuk kesemua kemudahan dan alatan dalam 20 ambulans ini.
"Alhamdulillah kejayaan memperoleh Tasreh ini menunjukkan tahap ketersediaan TH dan tahap profesional Kementerian Kesihatan Malaysia, yang menghantar rombongan perubatan berkemahiran sehingga diiktiraf di tahap yang tinggi," katanya.
Syed Salleh berkata kesemua 20 ambulans itu dikendalikan sepenuhnya TH di bawah rombongan perubatan dengan pemandu ambulans, juga turut diberikan permit dengan satu unit pemandu beroperasi di Mekah, manakala satu lagi di Madinah.
Sementara itu Syed Saleh memaklumkan setakat 23 Mei 2024 jam 5 petang, seramai 29 orang jemaah haji Malaysia dirawat di Hospital Arab Saudi dan Pusat Rawatan TH di Mekah dan Madinah.
Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai tujuh orang berada di Hospital Arab Saudi manakala 21 orang berada di Pusat Rawatan TH di Mekah dan seorang di Madinah.
"Kebanyakan mereka dimasukkan ke Pusat Rawatan TH disebabkan pelbagai penyakit terutamanya jangkitan kuman paru-paru (pneumonia) dan lain-lain penyakit seperti komplikasi darah tinggi, kencing manis dan penyakit berkaitan haba, namun kesemua jemaah pesakit ini dalam keadaan stabil," katanya.
Berikutan itu beliau sekali lagi mengingatkan jemaah haji untuk sentiasa menjaga kesihatan, terutama dengan keadaan cuaca panas terik di Mekah dan Madinah dengan suhu sekitar 35 hingga 45 darjah celsius.
Cuaca ekstrem katanya boleh mengakibatkan penyakit-penyakit kulit seperti ruam serta kulit kering, yang boleh menyebabkan luka dan sehubungan itu jemaah dinasihatkan agar sentiasa memakai pelembap bersesuaian.
"Kepada jemaah semua, saya mohon untuk sentiasa mengambil maklum tentang pengumuman terkini yang dimuat naik dalam aplikasi THhujjaj. Makluman terkini berkenaan amaran cuaca semasa sentiasa dikemas kini untuk kita bersiap siaga," katanya.
-- BERNAMA