'Malaysia jadi model kepada negara Afrika'

Harits Asyraf Hasnan
Januari 17, 2019 05:33 MYT
Dr Mahathir bersalaman dengan Presiden Senegal Macky Sall pada ICEA 2019, di Dakar, Senegal, 17 Jan, 2019. --fotoBERNAMA
Malaysia menjadi model kepada negara-negara Afrika lantaran kejayaannya memacu pembangunan fizikal, ekonomi serta rakyat.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau dijemput hadir pada Persidangan Antarabangsa Kemunculan Afrika Ke-3 (ICEA 2019) kerana ramai pemimpin Afrika menjadikan Malaysia sebagai model pembangunan.
“Pemimpin Afrika yang saya kenal dahulu sudah tidak ada lagi atau sudah tidak lagi menjadi pemimpin dan yang saya jumpa (pada ICEA 2019) adalah pemimpin yang baru.
“Namun, mereka nampaknya tahu tentang Malaysia dan sebab saya dijemput adalah kerana mereka masih pandang Malaysia sebagai satu contoh model yang baik dan mereka ingin belajar daripada Malaysia,” katanya.
Beliau bercakap pada satu sidang media pasca ICEA 2019 di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf Diamniadio di sini pada Khamis.
Jelasnya lagi, pemimpin-pemimpin Afrika turut menzahirkan hasrat untuk mengembangkan ekonomi menerusi perdagangan serta pemasaran produk-produk mereka.
Ia termasuk pemprosesan bahan mentah kepada produk sekunder untuk meningkatkan tambah nilai kepada pasaran sedia ada.
“Mereka juga ingin memproseskan barangan keluaran mereka di tempat mereka sendiri supaya mendapat tambahan nilai.
“Berkenaan dengan koko umpamanya. Koko ditanam di Afrika, tetapi kita tak dapat coklat Afrika, sebaliknya kita dapat coklat Switzerland, yang mana negara tersebut tidak ada ada satu pun pokok koko,” katanya.
Justeru, ujarnya perusahaan di Malaysia juga perlu diperluas dengan menghasilkan produk tambah nilai, dan tidak hanya mengeksport bahan mentah.
#Afrika #coklat #Dakar #ekonomi #eksport #ICEA 2019 #koko #Mahathir Mohamad #Malaysia #model #pemasaran #pembangunan fizikal #produk sekunder #produk tambah nilai #rakyat
;