Malaysia, Iran, Hamas sokong sidang OIC tuntut Israel henti kekejaman

Astro Awani
Ogos 20, 2024 10:30 MYT
Anwar berhubung dengan Presiden Iran, Dr Masoud dan Dr Basem, ahli Biro Politik Hamas membincangkan cadangan Turkiye untuk menghimpunkan pemimpin dunia Islam melalui sidang tergempar OIC. - Foto Facebook/Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Malaysia, Iran dan pasukan pejuang Hamas dari Palestin bersetuju dengan cadangan Turkiye untuk menghimpunkan pemimpin dunia Islam melalui sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, sidang ini bertujuan menyelaras tindakan dan meningkatkan tekanan terhadap Amerika Syarikat (AS) serta sekutunya.
Sidang tersebut juga, kata Anwar, bermatlamat mendesak rejim Zionis Israel supaya segera menghentikan serangan dan pengeboman di Gaza.
“Sebelum berlepas ke India, saya sempat menghubungi Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian dan Dr Basem Naim, ahli Biro Politik Hamas lewat petang semalam.
“Bicara kami menyentuh beberapa usaha penting terkait usaha untuk merealisasikan gencatan senjata dan perdamaian berpanjangan di Gaza.
“Saya juga menyatakan sokongan penuh kerajaan Malaysia terhadap usaha tersebut yang sewajarnya dipelopori oleh negara-negara penting termasuk Turkiye, Qatar dan Iran.
“Alhamdulillah, Kerajaan Iran dan Hamas senada dan menyokong inisiatif ini, termasuk cadangan menjemput negara bukan Islam yang turut mendukung keadilan dan memperjuangkan hak kemanusiaan buat rakyat Palestin seperti Afrika Selatan, Brazil, Sepanyol, Ireland dan Portugal,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di media sosial beliau, hari ini.
Dalam hal ini, Anwar menegaskan, beliau bersama Dr Masaoud dan Dr. Basem berkongsi pendirian yang sama, iaitu usaha untuk mencapai perdamaian mesti dimulakan dengan penghentian sepenuhnya serangan dan kekejaman oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
#Perang Palestin-Israel #oic #Malaysia #Anwar Ibrahim
;