Malaysia intai peluang jalin kerjasama dengan Rusia dalam pemindahan teknologi

Bernama
Mei 20, 2023 07:15 MYT
Khaled (dua, kiri) ketika menyertai diskusi 'Hubungan Kerjasama dalam Sains dan Pendidikan Tinggi dalam kalangan negara OIC' yang berlangsung sempena Kazan Forum 2023, di Rusia, 19 Mei 2023. - Facebook Mohamed Khaled Nordin
KAZAN (Rusia): Malaysia sedang berusaha untuk menjalin kerjasama dengan Rusia dalam pertukaran teknologi, terutama yang dibangunkan dengan baik di Rusia, termasuk teknologi robotik atau roket, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
"Kami meminta Rusia membantu terutama dalam pemindahan teknologi dalam sektor tertentu seperti robotik, sains roket yang diperlukan oleh universiti di Malaysia," kata Khaled di luar forum ekonomi Antarabangsa ke-14, "Russia - Islamic World: KazanForum."
Beliau berkata Malaysia juga berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan Moscow dalam pertukaran sains perubatan lanjutan, aeronautik dan kejuruteraan elektrik.
Forum itu berlangsung di bandar Kazan Rusia dari 18 hingga 19 Mei.
Beliau bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menghadiri forum itu dengan kedua-duanya bersetuju dengan pihak Rusia untuk mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan, perdagangan dan pelancongan.
-- BERNAMA
#pemindahan teknologi #Mohamed Khaled Nordin #Rusia #robotik
;