Malaysia - Indonesia tandatangan MoU perkukuh kerjasama pertahanan awal 2022

Ridauddin Daud
Oktober 28, 2021 16:27 MYT
Hishammuddin Hussein (dua dari kanan) di samping Prabowo Subianto (kanan) semasa lawatan Menteri Pertahanan Indonesia itu ke Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur pada Khamis. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia sepakat untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan sedia ada dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara awal tahun hadapan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, MoU tersebut akan memfokuskan kerjasama pertahanan menyeluruh antara kedua-dua negara jiran itu.
Menurut beliau, kedua-dua negara juga bersetuju meneruskan latihan bersama dalam usaha menangani ancaman pengganas melalui LATGABMA MALINDO DARSASA yang akan diadakan pada tahun hadapan di Malaysia.
Parlimen | 10 Menteri Pertahanan ASEAN bincang AUKUS
Menerusi satu kenyataan, Hishammuddin berkata, latihan bersama itu akan melibatkan kerjasama ketiga-tiga cabang perkhidmatan dari angkatan tentera serta pasukan polis kedua-dua negara.
“Malaysia - Indonesia juga berkongsi komitmen untuk meningkatkan lagi kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) bagi memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia.
“Ia terutamanya menerusi pengoperasian Pos-Pos Gabungan. Buat masa ini, operasi gabungan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan TNI adalah di enam penempatan Pos Gabungan yang tertumpu di sempadan Sarawak - Kalimantan,” katanya.
Kenyataan media tersebut dikeluarkan susulan kawatan kerja selama sehari Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto di Kuala Lumpur pada Khamis.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menerima kunjungan hormat Prabowo di sebuah hotel di sini.
Perdana Menteri meluangkan kira-kira 45 minit semasa menerima kunjungan itu.
Selesai kunjungan hormat, Prabowo berserta delegasi mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya, Hishammuddin di Wisma Pertahanan.
#Hishammuddin Hussein #Perdana Menteri #Prabowo Subianto #ATM
;