Malaysia, Indonesia setuju konsep 'one maid one task'

Bernama
Disember 7, 2021 22:16 MYT
KSM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan persetujuan itu dicapai hasil pertemuan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan dengan rakan sejawatnya Ida Fauziyah di Indonesia. - Gambar hiasan/ Reuters
PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia bersetuju melaksanakan konsep 'one maid one task' iaitu seorang pekhidmat domestik Indonesia (PDI) boleh berkhidmat bagi isi rumah tidak melebihi enam orang, menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM).
KSM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan persetujuan itu dicapai hasil pertemuan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan dengan rakan sejawatnya Ida Fauziyah di Indonesia.
Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Malaysia-Indonesia mengenai Memorandum Persefahaman Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (MoU PDI) akan diadakan pada 14 Dis ini bagi memperincikan perkara tersebut, serta membolehkan kedua pihak mencapai kesepakatan agar MOU PDI dapat dimeterai seawal Januari 2022.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan sempena pertemuan Saravanan dengan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia itu, isu berhubung 'one channel system' juga telah dipersetujui antara kedua menteri untuk membolehkan pemantauan berkesan dalam kemasukan PDI ke Malaysia.
Saravanan mengadakan lawatan kerja ke Jakarta bermula Ahad lepas hingga hari ini susulan lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Indonesia bulan lepas.
Dalam sidang media bersama Ismail Sabri dan Presiden Indonesia Joko Widodo sempena lawatan itu, mereka telah menyatakan komitmen untuk menyegerakan pemeteraian MoU PDI bagi menampung keperluan dan permintaan daripada majikan di Malaysia.
MoU PDI ditandatangani buat pertama kalinya pada 13 Mei 2006 di Bali dan susulan daripada itu, Protokol Meminda MoU PDI telah ditandatangani pada 31 Mei 2011 di Bandung yang telah tamat pada 30 Mei 2016.
Menurut KSM, pemeteraian MoU PDI perlu dilaksanakan segera kerana Indonesia hanya akan membenarkan kemasukan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) ke Malaysia bagi sektor perladangan selepas MoU PDI dimuktamadkan.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 April dan 12 November 2021 telah bersetuju dengan kemasukan pekerja warga asing sektor perladangan ke Malaysia secara pengecualian khas, menurut KSM.
Sementara itu, KSM memaklumkan Indonesia menyambut baik pelaksanaan aplikasi mudah alih Working for Workers (WFW) sebagai platform aduan isu-isu perburuhan dan memohon agar aplikasi tersebut dapat digunakan secara efektif bagi menerima aduan daripada TKI dan PDI di Malaysia.
Hingga 5 Okt lepas, jumlah aduan yang diterima menerusi aplikasi itu adalah sebanyak 12,132 kes dengan aduan utama adalah mengenai gaji tidak dibayar, pembayaran gaji lewat serta potongan gaji tidak mengikut undang-undang.
-- BERNAMA
#pembantu rumah indonesia #one maid one task #PDI #Kementerian Sumber Manusia
;