Malaysia, Indonesia perlu bersatu pastikan kelapa sawit jadi sumber minyak utama dunia

Isabelle Leong
Ogos 9, 2019 15:13 MYT
Kuala Lumpur dan Jakarta mampu menguasai 80 peratus daripada pasaran minyak kelapa sawit jika bergabung. - Gambar fail
Malaysia dan Indonesia perlu bekerjasama dalam memastikan pasaran sawit dunia menerima komoditi tersebut sebagai sumber minyak utama di dunia.
Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim berkata Kuala Lumpur dan Jakarta mampu menguasai 80 peratus daripada pasaran minyak kelapa sawit jika kedua-dua mereka bergabung.
Menerusi kerjasama ini, kedua-dua negara dapat bergerak secara sekata dan satu suara dalam menentang diskriminasi terhadap minyak kelapa sawit.
"Jika Kuala Lumpur dan Jakarta bekerjasama, mereka mampu menguasai 80 peratus daripada pasaran minyak kelapa sawit
"Jadi mereka harus bergerak secara sekata dan satu suara untuk menentang diskriminasi kelapa sawit terutamanya di negara barat
"Saya berpendapat Presiden Indonesia Joko Widodo mahu bekerjasama dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggunakan kelapa sawit dalam diplomasi dan juga memastikan bahawa pasaran sawit dunia masih menerima komoditi itu sebagai sumber minyak utama di dunia," kata Amir.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu bersama penganalisis politik, Prof Madya Dr Hamidin Hamid pada Buletin Awani Khas pada Jumaat.
Katanya lagi, Indonesia lantang mencabar Kesatuan Eropah (EU) kerana menyekat biobahan api itu nyata menunjukkan keterbukaan Jokowi untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam berdepan tekanan dengan dari EU.
"Isu Kelapa sawit tidak pernah disuarakan dan apabila Jokowi bersuara, EU terkejut.
"Saya berpendapat dalam isu kelapa sawit ini, apabila Indonesia bersuara, ia menunjukkan keterbukaan Jokowi dalam mengajak Malaysia bekerjasama.
"Saya rasa kami perlu ambil peluang ini untuk berhadapan dengan tekanan dari negara Eropah," katanya.
#Amir Fareed Rahim #Hamidin Hamid #Indonesia #Joko Widodo #kelapa sawit #kerjasama #Mahathir Mohamad #Malaysia #penganalisis politik #Pengarah Strategi KRA Group
;