Malaysia, Indonesia mulakan latihan Tentera Laut 'Malindo Jaya'
Bernama
Ogos 29, 2022 21:35 MYT
Ogos 29, 2022 21:35 MYT
JAKARTA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentara Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL) hari ini memulakan latihan bersama untuk meningkatkan profesionalisme dan mengeratkan jalinan kerja sama.
Latihan Bersama yang digelar 'Malindo Jaya 26AB/22' berlangsung di Surabaya, Jawa Timur, dirasmikan oleh Panglima Komando Armada II TNI AL, Laksamana Muda Hutabarat.
Perasmian latihan selama enam hari yang akan berakhir pada 3 September itu turut dihadiri Panglima Armada Barat TLDM, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Mohd Ajis.
Dalam satu kenyataan, Hutabarat berkata latihan itu akan meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara dan angkatan laut serta meningkatkan kemampuan taktik, teknik dan prosedur operasi pertempuran.
Ia melibatkan kapal perang TLDM iaitu KD Sri Indera Sakti-1503 dan KD Lekiu-30 serta KRI R.E. Martadinata-331, KRI Tombak-629, dan helikopter Panther dari TNI AL.
Di majlis itu, Abu Bakar mengunjungi monumen kapal selam KRI Nanggala-402 untuk memberikan penghormatan kepada 53 anak kapalnya yang terkorban semasa melaksanakan tugas.
KRI Nanggala-402 terputus hubungan pada 21 April 2021 ketika melakukan latihan menembak torpedo di Laut Bali dan diisytiharkan tenggelam pada 24 April 2021 oleh TNI AL selepas penemuan serpihannya.
-- BERNAMA
#TLDM
#Tentera Laut Diraja Malaysia
#Tentara Nasional Indonesia Angkatan Laut
#tni al
#latihan bersama
#Tentera Laut
#Malindo Jaya