Malaysia, Indonesia dan Filipina bekerjasama lindungi Laut Sulu
Bernama
Oktober 12, 2017 07:25 MYT
Oktober 12, 2017 07:25 MYT
Malaysia, Indonesia dan Filipina pada Khamis melancarkan operasi pemantauan udara menerusi inisiatif Trilateral Air Patrol (TAP) di Laut Sulu bagi menangani isu jenayah rentas sempadan termasuk ancaman pengganas dan penculikan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata inisiatif bersama itu bertujuan untuk mengekang pergerakan ekstremis ganas dan pengganas merentasi sempadan ketiga-tiga negara.
"Apa yang paling membimbangkan adalah tindakan organisasi-organisasi pengganas yang menjadikan kawasan maritim itu sebagai pangkalan operasi mereka.
"Tahap seriusnya ancaman itu menunjukkan ia tidak harus ditangani oleh satu negara secara sendirian. Ia memerlukan kerjasama serantau dalam kalangan negara-negara yang berkongsi pandangan sama," katanya pada pelancaran TAP di Pangkalan Tentera Udara Malaysia di Subang, di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Pertahanan Indonesia Jeneral (B) Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Pertahanan Negara Filipina Delfin Lorenzana.
Hishammuddin berkata rantau ini kini semakin terdedah kepada ancaman militan Daesh dan inisiatif itu bukan sahaja penting di Laut Sulu tetapi juga dalam konteks mendepani cabaran-cabaran di Asia Tenggara secara lebih menyeluruh.
"Kita tidak boleh menafikan hakikat bahwa kejayaan pihak gabungan menumpaskan Daesh di Timur Tengah telah mendorong kepada kepulangan pejuang asing ke rantau kita," katanya.
Beliau berkata serangan di Marawi City, Filipina jelas membuktikan organisasi-organisasi pengganas dan pihak yang bersimpati dengan kumpulan itu telah mengeksploitasi kawasan sempadan yang mudah dibolosi dan bergabung dengan kumpulan pengganas tempatan.
TAP berperanan sebagai komponen kedua Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) untuk melengkapi aspek pertama iaitu pemantauan maritim menerusi inisiatif Trilateral Maritime Patrol (TMP) yang dilancarkan pada Jun lepas di Tarakan.
Malaysia, Indonesia dan Filipina bersetuju untuk melaksanakan pendekatan giliran bulanan bagi TAP dengan Malaysia akan menjadi negara pertama mengetuai operasi pada bulan depan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), diikuti Filipina pada Disember dan seterusnya Indonesia pada Januari 2018.
Hishammuddin berkata walaupun jumlah dagangan global yang melalui Laut Sulu lebih rendah daripada jumlah yang melalui Selat Melaka, adalah penting untuk menjamin keselamatan di perairan itu berikutan barangan bernilai kira-kira AS$40 bilion melalui perairan itu setiap tahun.
"Kerjasama keselamatan serantau memainkan peranan penting dalam melindungi keselamatan rantau ini. Sebenarnya, pengurusan Laut Sulu jelas turut menjadi tanggungjawab negara kita. Kita perlu memastikan kawasan itu selamat," katanya.
-- BERNAMA
#Filipina
#Indonesia
#jenayah rentas sempadan
#kerjasama
#keselamatan
#Laut Sulu
#Malaysia
#penculikan
#pengganas