Malaysia, Indonesia dahului pemulihan permintaan perjalanan domestik di Asia Tenggara - Google

Bernama
April 26, 2022 15:24 MYT
Cuti inap dan melakukan perjalanan untuk bertemu yang tersayang telah mendorong pertumbuhan perjalanan di rantau ini. - Unsplash
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia mendahului pemulihan bagi permintaan domestik di Asia Tenggara (SEA), mencapai pertumbuhan 100 peratus pada Mac berbanding paras yang sama pada 2019, manakala Filipina, Thailand dan Vietnam turut mengikut jejak langkah sama.
Ketua Perjalanan Google di Asia Pasifik Hermione Joye berkata cuti inap dan melakukan perjalanan untuk bertemu yang tersayang telah mendorong pertumbuhan perjalanan di rantau ini berikutan pemansuhan arahan sekatan perjalanan, pembukaan semula sempadan serta langkah kuarantin dan ujian yang dilonggarkan.
"Pemulihan telah mula berlaku di seluruh rantau ini -- kerajaan-kerajaan di SEA semakin mula menerima idea bahawa orang ramai melakukan perjalanan dan perlu melakukan perjalanan, dan apa yang kami dapat lihat, disebabkan itu, permintaan menjadi semakin meningkat," katanya pada sesi meja bulat media secara maya mengenai pemulihan sektor pelancongan di SEA.
Bagi permintaan antarabangsa, Joye berkata pemulihan yang pantas adalah di Filipina dan Indonesia, manakala Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam mencatatkan pemulihan yang sederhana.
Beliau berkata perjalanan masuk ke Malaysia dari 27 Mac sehingga 2 April meningkat 83 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2019, manakala perjalanan keluar mencatatkan kenaikan ketara sebanyak 90 peratus dalam tempoh yang sama.
Di pasaran lebih luas, beliau berkata data dalaman Google menunjukkan 40 peratus bahagian pelancongan yang masuk dari Amerika Syarikat dan Kanada adalah ke Filipina dan Vietnam, 40 peratus bahagian yang masuk dari Eropah adalah ke Indonesia dan Thailand, manakala 38 peratus bahagian yang masuk dari Timur Tengah adalah ke Filipina.
Malaysia dan Singapura menyumbang 75 peratus bahagian masuk dari intrarantau, katanya.
Menurut Joye, Bali merupakan pasaran paling pesat berkembang pada Mac 2022 yang bukan sahaja menarik pelancong dari rantau ini, malah dari seluruh dunia, manakala Bangkok berada pada kedudukan ketujuh.
-- BERNAMA
#Malaysia #Indonesia #permintaan domestik #pertumbuhan perjalanan
;