Malaysia-Indonesia capai resolusi kurang kadar kemiskinan, model Felda akan jadi contoh
Bernama
Februari 27, 2023 13:37 MYT
Februari 27, 2023 13:37 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia telah mencapai satu resolusi untuk mengurangkan kadar kemiskinan di Asia Tenggara serta meningkatkan sekuriti makanan di rantau ini, menurut Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Idris Jusoh.
Sehubungan itu, beliau berkata model Felda akan digunakan sebagai contoh oleh negara-negara Asean untuk mengatasi isu kemiskinan di rantau ini.
Menurutnya satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi mengatur tindakan yang akan dilakukan untuk mengurangkan kadar kemiskinan serta melihat aspek sekuriti makanan di rantau Asean.
"Kita lihat ini adalah peluang kolaborasi yang lebih baik di antara Felda dengan rakan-rakan di Indonesia, malah dalam sekuriti makanan kerana ia telah menjadi isu besar pada masa ini. Kita akan beri tekanan terhadap pelan ini di Asean," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Kamar Dagang dan Industri Indonesia (Kadin) di Menara Felda hari ini.
Hadir sama ialah Naib Pengerusi Penyelaras Kadin bagi modal insan, penyelidikan dan inovasi Carmelita Hartoto dan jawatankuasa bilateral Kadin Malaysia Eko Putro Sandjojo.
Indonesia adalah Pengerusi Asean pada tahun ini.
Eko Putro berkata model Felda akan dijadikan contoh berikutan Felda telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan di kawasan luar bandar Malaysia.
"Kalau itu dapat diterapkan di Asean, maka kadar kemiskinan dapat dikurangkan dan masalah berkaitan kemiskinan dapat diselesaikan. Model Felda sudah terbukti dan diakui dunia," katanya.
Mengenai pelupusan hutang peneroka Felda, Idris menegaskan bahawa tiada perancangan untuk berbuat demikian.
"Dulu kita telah menghapuskan 80 peratus hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion. Tidak boleh salahkan satu pihak. Kita sentiasa terbuka untuk berbincang," katanya.
Baru-baru ini, Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) dilaporkan meminta Felda untuk bertanggungjawab terhadap hutang peneroka sebanyak RM10.38 bilion yang terkumpul sejak 2021 yang didakwa berpunca daripada kelemahan agensi itu sendiri.
-- BERNAMA