Malaysia-India tingkat kerjasama strategik

Rahimah Abdullah
November 23, 2015 16:46 MYT
Malaysia akan berusaha untuk mengiktiraf lebih banyak program ijazah dari India khususnya dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) dan kejuruteraan. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Malaysia dan India akan terus meningkatkan kerjasama strategik dalam sektor perdagangan, infrastruktur, pertahanan, pendidikan dan pelancongan.
Pada masa sama, kedua-dua negara berminat untuk mengembangkan bidang perubatan tradisional Ayuverda sebagai penjagaan kesihatan holistik tertua di dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan berusaha untuk mengiktiraf lebih banyak program ijazah dari India khususnya dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) dan kejuruteraan.
"Jadi kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan MQA, kami akan mengambil tindakan segera untuk berbincang dengan pihak berkuasa yang berkaitan di India supaya kita dapat mengiktiraf ijazah dari universiti, politeknik, dan kolej teknikal India, agar lebih banyak ijazah boleh diperoleh di Malaysia," katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri, Narendra Modi di sini, hari ini.
Malaysia juga dialu-alukan menyertai aktiviti ekonomi India termasuk Make In India, Digital India, Smart Cities dan kemahiran pembangunan yang akan memanfaatkan pelaburan serta perniagaan Malaysia.
Kedua-dua negara akan bekerjasama di peringkat kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi membina pusat konvensyen baharu di Delhi, India.
Justeru, wakil khas dari kedua-dua negara akan dilantik agar projek ini dapat dilaksanakan dengan segera.
#India #IT #Kementerian Pengajian Tinggi #Malaysia #MQA #Najib Razaj #Narendra Modi #Teknologi Maklumat
;