Malaysia ikut kehendak Arab Saudi wajibkan dos penggalak ke atas jemaah umrah - Idris

Bernama
Februari 8, 2022 15:43 MYT
IDRIS: Dos penggalak adalah salah satu kehendak (kerajaan) Saudi ke atas jemaah umrah. Mereka ada mengeluarkan circular (pekeliling), jadi kita kena ikut. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) baharu yang mewajibkan pengambilan dos penggalak ke atas jemaah umrah Malaysia adalah berdasarkan kepada kehendak Kerajaan Arab Saudi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
"Dos penggalak adalah salah satu kehendak (kerajaan) Saudi ke atas jemaah umrah. Mereka ada mengeluarkan circular (pekeliling), jadi kita kena ikut.
Pintu untuk ke Tanah Suci dah dibuka mulai hari ini. Jadi jemaah kita kena ikut syarat yang ditetapkan untuk ke sana," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Usrah Anak Muda anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Radio Zayan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), di sini hari ini.
BACA: Kerajaan tetapkan tiga SOP baharu ibadah umrah
Mengenai data terkini bakal jemaah umrah yang telah menerima dos penggalak, Idris berkata pihaknya tidak mempunyai data berkenaan.
Katanya statistik mengenai bakal jemaah umrah Malaysia yang sudah menerima suntikan dos penggalak ada pada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kerana urusan SOP umrah itu adalah di bawah kementerian itu.
-- BERNAMA
#Malaysia #Arab Saudi #dos penggalak #umrah #jemaah #Idris Ahmad