Malaysia hilang hasil sehingga RM6b setahun akibat tangkapan ikan secara haram

Bernama
September 3, 2019 04:22 MYT
Menurut Jabatan Perikanan Malaysia, negara kehilangan kira-kira 980,000 tan metrik hasil laut negara, bernilai antara RM3 bilion dan RM6 bilion, setiap tahun akibat aktiviti penangkapan ikan secara haram. - Gambar hiasan
Malaysia kehilangan hasil sehingga RM6 bilion akibat penangkapan ikan secara haram setiap tahun, kata Pengarah Bahagian Perikanan Tangkapan dan Pelesenan di Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Muhammad Aznan Abdullah.
Beliau berkata meskipun langkah-langkah penguatkuasaan yang ketat di Indonesia, Malaysia dan Thailand, isu penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU) terus berleluasa memandangkan pulangan pelaburannya lumayan dan juga kerana kawasan yang luas yang menyukarkan kepolisian jika tidak ada kerjasama dari negara anggota ASEAN.
"Penyelidik daripada Southeast Asian Fisheries Development Center (SEAFDEC) mendapati jumlah ikan negara sudah berada di tahap kritikal dan tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan produk ikan milik Malaysia dibawa keluar negara secara haram," kata beliau kepada Bernama di sini pada Selasa.
Walaupun begitu, Wan Muhammad Aznan berkata Jabatan Perikanan Malaysia telah bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), polis marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk membendung penangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Terminal Projek Japan Trust Fund 6 (JTF6): Memerangi Perikanan IUU di Asia Tenggara menerusi penggunaan pensijilan tangkapan untuk perdagangan antarabangsa perikanan dan produk ikan yang diadakan dari 3 hingga 5 Sept.
Menurut Jabatan Perikanan Malaysia, negara kehilangan kira-kira 980,000 tan metrik hasil laut negara, bernilai antara RM3 bilion hingga RM6 bilion, setiap tahun akibat aktiviti penangkapan ikan secara haram.
Hanya 50 peratus ikan yang ditangkap dari perairan negara dibawa ke pasaran tempatan manakala selebihnya tidak dapat dikesan.
Akibat kerugian ini, Akta Perikanan 1985 telah dipinda pada Julai tahun ini bertujuan antara lain untuk menaikkan penalti am untuk kesalahan tersebut.
Akta Perikanan meningkatkan penalti maksimum bagi pemilik atau kapten kapal asing yang didapati menceroboh perairan Malaysia kepada RM6 juta, dari padaRM1 juta, dan penalti bagi setiap anak kapal dinaikkan dari RM100,000 hingga RM600,000.
Sementara itu dalam satu kenyataan, Jabatan Perikanan berkata sehingga 26 juta tan ikan ditangkap secara haram setiap tahun di seluruh dunia, dianggarkan antara 10 hingga 20 peratus tangkapan global.
Pengarah SEAFDEC Raja Bidin Raja Hassan ketika ditemui berkata beliau berharap mesyuarat tiga hari dengan 11 wakil ASEAN dapat memberi perkembangan positif untuk memperbaiki garis panduan untuk menangani penangkapan ikan haram yang telah dipersetujui sejak 2015.
"Jika ada kepincangan atau loophole, kami akan cuba perbaiki memandangkan garis panduan perlu dikaji semula setiap lima tahun. Sebarang cadangan baharu akan diambil kira," katanya.
-- BERNAMA
#Akta Perikanan 1985 #garis panduan #haram #hasil laut #ikan #Jabatan Perikanan Malaysia #kapal asing #menceroboh #penalti #pensijilan tangkapan #pulangan #Raja Bidin Raja Hassan #rugi #tangkap ikan #Wan Muhammad Aznan Abdullah
;