Malaysia hilang hak semak harga air selepas gagal berbuat demikian pada 1987
Bernama
Mac 7, 2014 10:09 MYT
Mac 7, 2014 10:09 MYT
Menteri Luar Singapura K. Shanmugam berkata berdasarkan Perjanjian Air, selepas Malaysia memutuskan untuk tidak mengkaji semula harga air pada 1987, maka ia tidak lagi berhak untuk berbuat demikian selepas itu.
"Pendirian Singapura ialah Malaysia sudah kehilangan haknya untuk menyemak harga air. Perjanjian Air memperuntuk kajian semula selepas 25 tahun. Secara khusus, terdapat hak untuk melakukan semakan harga air bersama pada 1987.
"Bagaimanapun, Malaysia secara sedar memilih untuk tidak melakukan semakan semula harga air dan mempunyai alasan yang baik tidak berbuat demikian," katanya ketika menjawab satu soalan di Parlimen.
Ellen Lee dari Kawasan Perwakilan Berkumpulan (GRC) Sembawang menyoal menteri berkenaan sama ada Malaysia berhak mengkaji semula harga air mentah yang dijual kepada Singapura berdasarkan perjanjian air dua hala pada bila-bila masa sebelum tarikh luputnya pada 2061.
Shanmugam berkata Singapura sudah menyatakan pendiriannya berhubung isu ini dan juga memaklumkannya secara rasmi kepada kerajaan Malaysia beberapa kali.
Beliau berkata Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman pada 17 Feb 2014 berkata: "Perjanjian adalah perjanjian dan kita akan menghormatinya.
"Jika ada keperluan untuk semakan, kami akan memaklumkannya dan jika maklum balas mereka adalah positif, kita akan memulakan rundingan."
Shanmugam berkata jika Malaysia menggunakan haknya untuk menyemak harga air pada 1987, Singapura mungkin akan membuat keputusan pelaburan yang berbeza bagi membangunkan Sungai Johor, contohnya projek Empangan Linggiu pada 1990.
Sebaliknya, beliau berkata Malaysia memilih untuk tidak menyemak harga air pada 1987, dan atas dasar itu, Singapura mengambil beberapa tindakan yang turut memanfaatkan Malaysia.
Ini termasuk pembinaan Empangan Linggiu pada kos lebih S$300 juta (RM750 juta), yang boleh mempertingkat kuantiti air di Sungai Johor membolehkan Johor dan Singapura mendapat bekalan air ketika musim kemarau.