Malaysia hasrat jadi sebahagian daripada 'kisah semikonduktor' India - Liew
Bernama
Mac 20, 2025 10:30 MYT
Mac 20, 2025 10:30 MYT
NEW DELHI: Dengan unjuran pasaran semikonduktor India dijangka melebihi US$100 bilion menjelang 2030, Malaysia melihat peluang untuk turut serta dalam membangunkan industri pembuatan semikonduktor yang berdaya maju.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong yang kini dalam lawatan ke India berkata bahawa Malaysia berminat untuk menjadi sebahagian daripada "kisah semikonduktor" India dengan menawarkan kepakaran dalam bidang utama.
India kini mempunyai pelbagai projek melibatkan syarikat semikonduktor asing seperti Foxconn, Micron Technology, Applied Materials, dan Advanced Micro Devices (AMD).
Pasaran semikonduktornya diunjurkan berkembang mencecah US$109 bilion menjelang 2030, berbanding US$38 bilion pada 2023, menurut anggaran industri.
"Kami mahu melihat bagaimana kerjasama yang lebih tersusun dapat diwujudkan dengan India dalam sektor semikonduktor," kata Liew kepada Bernama pada Selasa.
Beliau turut menekankan bahawa banyak syarikat asing yang kini melabur di India sebenarnya telah lama beroperasi di Malaysia, sekali gus membuka peluang kepada hubungan perniagaan tiga hala.
"Melalui mereka, kami telah membangunkan rantaian bekalan Malaysia yang kukuh. Kami percaya inilah bidang yang boleh diusahakan bersama India," katanya.
Malaysia, yang mempunyai keupayaan dalam pembuatan peralatan, pemasangan dan ujian semikonduktor boleh membantu India mempercepatkan pembangunan rantaian bekalannya, kata Liew.
Di peringkat domestik, Liew menjelaskan bahawa kerajaan kini memberi tumpuan kepada Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang diumumkan pada Mei tahun lalu bagi mengembangkan syarikat teknologi Malaysia.
"Untuk sekian lama, sektor semikonduktor dilihat sebagai pelaburan langsung asing (FDI), tetapi kita tidak memberi penekanan kepada pembangunan inovasi dan keupayaan Malaysia sendiri," katanya.
Kini, terdapat usaha lebih besar untuk memanfaatkan sektor semikonduktor dalam memperkasakan industri teknologi dan kejuruteraan tempatan.
Dalam pertemuan bersama Sherpa G20 India, Amitabh Kant, Liew bertukar pandangan mengenai hubungan India-ASEAN serta cara kedua-dua negara boleh bekerjasama dalam landskap geo-ekonomi global semasa.
Beliau turut bertemu wakil-wakil syarikat Malaysia yang beroperasi di India di Suruhanjaya Tinggi Malaysia pada Selasa malam.
Pertemuan dengan anggota Persekutuan Dewan Perdagangan dan Industri India (FICCI), antara persatuan perdagangan terbesar di negara itu, memberi tumpuan kepada pembangunan kerjasama perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
-- BERNAMA