Malaysia hasrat bangunkan ekosistem ekonomi digital mampan

Bernama
Februari 9, 2023 07:10 MYT
Mohammad (tengah) berkata fokus Malaysia berhubung keselamatan siber dan perlindungan data dalam mesyuarat itu turut dikongsi sama oleh negara anggota ASEAN yang lain. -Bernama
BORACAY: Malaysia yang berhasrat membangunkan ekosistem Ekonomi Digital yang mampan, pada masa yang sama tidak boleh memandang ringan kepentingan perlindungan data dan keselamatan siber.
Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Seri Mohammad Mentek berkata ia memerlukan banyak usaha, seperti penyediaan infrastruktur dan ketersambungan, terutama selepas Ekonomi Digital menjadi tumpuan ramai susulan kemunculan pandemik COVID-19, yang menjadikan isu ini semakin bertambah penting.
Bercakap kepada Bernama di luar Mesyuarat Menteri-menteri Berkaitan Digital ASEAN ke-tiga (ADGMIN) di sini, Mohammad berkata fokus Malaysia berhubung keselamatan siber dan perlindungan data dalam mesyuarat itu turut dikongsi sama oleh negara anggota ASEAN yang lain.
"Ketika ini kebanyakan negara-negara ASEAN mengambil peluang untuk mengambil kira keadaan ini.
"Ada beberapa langkah penting yang dibincangkan dalam kumpulan kerja yang berkaitan dalam ASEAN bagi memastikan perlindungan data dan keselamatan siber diberi perhatian," katanya.
Mohammad berkata isu scam (penipuan) turut menjadi perhatian dalam perbincangan dengan pemimpin dan menteri kanan.
"Scam kini dilihat semakin menjadi fenomena global, sepanjang masa, malah di saat ini, pasti ada yang sedang ditipu.
"Scam juga adalah masalah merentasi sempadan, kerana seseorang boleh ditipu, atau menjalankan penipuan di mana-mana tempat jua di dunia ini," katanya.
Bagaimanapun isu itu tidak akan disertakan dalam Kenyataan Media Bersama pada Jumaat memandangkan ia telah ditangani di ibu kota negara masing-masing.
Bagaimanapun ia akan disertakan dalam laporan, dan dibawa sebagai agenda dalam mesyuarat kumpulan kerja dan pemukiman pemimpin.
-- BERNAMA
#ASEAN #Mohammad Mentek #ekonomi digital #keselamatan siber
;