Malaysia harus sebar luas inisiatif kelestarian minyak sawitnya - Pakar

Bernama
Jun 30, 2022 04:20 MYT
Penting untuk melakukan usaha yang lebih besar bagi menjelaskan skim pensijilan MSPO dan mekanisme pematuhannya agar Malaysia mendapat kepercayaan dan penerimaan masyarakat Eropah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pakar antarabangsa berkata Malaysia mesti secara agresif menguar-uarkan inisiatif kelestarian minyak sawitnya khususnya skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk menghapuskan status berisiko tinggi komoditi tersebut.
Kumpulan pakar yang enggan nama mereka disiarkan telah menyertai siri webinar Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) - "Meeting the Challenge of Improving Labour Rights in the Malaysian Palm Oil Supply Chain", semalam yang dijalankan di bawah peraturan Chatham House.
Di bawah ketetapan Chatham House itu peserta bebas menggunakan maklumat tersebut tetapi identiti penceramah tidak boleh didedahkan. Tujuan keputusan itu adalah untuk menggalakkan perbincangan terbuka mengenai perkara yang rumit.
Seorang penceramah berkata skim pensijilan MSPO dan piawaian lain kurang diketahui dan difahami di Brussels, Belgium dan juga di tempat lain.
"Ini bukan sahaja mengenai kepercayaan tetapi juga tentang pengetahuan dan kesedaran," kata pakar itu yang berpangkalan di Brussels pada sesi webinar itu.
Beliau menekankan kepentingan melakukan usaha yang lebih besar untuk menjelaskan skim pensijilan MSPO dan mekanisme pematuhannya agar Malaysia mendapat kepercayaan dan penerimaan masyarakat Eropah.
"Ia adalah penting terutamanya dengan Kesatuan Eropah (EU). Kami kini melihat tempat pengeluaran, termasuk koordinat Sistem Kedudukan Global dan beberapa keperluan yang belum pernah kami lihat sebelum ini. Keperluan penebangan hutan dan semua di bawah undang-undang Malaysia termasuk buruh, orang asli dan hak sosial telah diambil kira.
"Dalam erti kata lain, EU akan mengambil kebebasan itu untuk mentafsir undang-undang Malaysia. Ini bermakna produk yang sebenarnya sah di Malaysia mengikut undang-undang Malaysia, mungkin boleh mengakibatkan tafsiran berbeza oleh kastam EU pula," katanya.
Sebagai tambahan kepada keperluan besar EU, blok ekonomi itu dijangka meratifikasi usaha wajarnya terhadap kemampanan korporat yang memerlukan negara anggota untuk mengenakan piawaian yang setara dengan atau lebih tinggi daripada arahan EU, katanya.
"Terdapat juga perbincangan mengenai pengharaman input produk buruh paksa yang diterbitkan pada tahun ini. Mengapa membuat proses itu begitu rumit?, ia telah menjadi sangat kontroversi daripada segi politik di Eropah," katanya.
Di satu pihak, negara anggota EU dan pihak berkepentingan EU ingin melihat larangan langsung yang jelas dan Presiden Suruhanjaya Eropah telah berjanji untuk menjadikan import produk buruh paksa menyalahi undang-undang dan ia adalah berbaur politik, kata penceramah itu.
Sementara itu, bagi konteks layanan Amerika Syarikat terhadap minyak sawit Malaysia, seorang lagi penceramah berkata bahawa ia ada sesuatu yang penting supaya Malaysia mendapatkan kandungan piawaian dengan betul dan memastikan audit pematuhan adalah menyeluruh.
"Penekanan bukan sahaja kepada pihak berkepentingan Malaysia tetapi juga kepada kerajaan Amerika Syarikat," katanya
-- BERNAMA
#minyak sawit #Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia #MPOC #kelestarian
;