Malaysia harus fokus peningkatan modal insan - Deloitte
Bernama
Disember 14, 2022 08:40 MYT
Disember 14, 2022 08:40 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempercepatkan penumpuannya terhadap peningkatan modal insan ketika kita melangkah memasuki 2023 bagi mengekalkan pertumbuhan dan daya saing kita di rantau ini, kata Deloitte.
Pengarah Perunding Deloitte Asia Tenggara Lee Yun-Han berkata syarikat Malaysia wajar menumpukan untuk memperkukuhkan daya tahan dan kecekapan organisasi, serta mengkonfigurasi semula dengan pantas ketika perniagaan berdepan pilihan yang sukar untuk kekal berdaya saing pada 2023.
"Berbanding mengikut laluan tradisional seperti pengecilan saiz, pemberhentian kerja atau skim pemisahan sukarela, perniagaan akan mendapat keuntungan dalam jangka panjang dengan membina dan melabur dalam ekosistem dan perkongsian yang membolehkan perniagaan mereka mengharungi kesukaran.
"Organisasi harus menggunakan peluang ini untuk menghapuskan kerja dan proses yang melambatkan perniagaan dan melemahkan pekerja.
"Dengan mengurangkan bilangan pekerja dan mengekalkan struktur birokrasi dan hierarki yang sama tidak akan menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang," kata Lee.
Di samping itu, syarikat mesti mempercepatkan usaha untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula tenaga kerja mereka dan bukannya mengurangkan usaha pembangunan bakat, katanya.
Lee menjelaskan bahawa organisasi perlu beralih daripada hanya "menghantar pekerja untuk latihan" kepada melabur dalam program pembangunan bakat yang strategik dan berkesan yang menghasilkan pulangan pelaburan yang lebih tinggi.
Kerajaan juga perlu terus menyediakan insentif yang betul dan memperjuangkan program strategik yang akan memfokuskan pelaburan ke arah membina kemahiran yang sesuai untuk Malaysia sebagai sebuah negara.
"Akhir sekali, kita perlu memberi tumpuan kepada membina keupayaan pemimpin korporat di Malaysia, untuk berdaya saing di peringkat serantau dan global. Pemimpin di semua peringkat memerlukan kemahiran dan keupayaan khusus untuk membawa rancangan organisasi mereka menjadi kenyataan," katanya.
Lee juga memberi amaran bahawa Indonesia sedang mengambil langkah strategik untuk menangani keupayaan pemimpin korporat mereka dan jika Malaysia tidak bertindak sekarang, kita berkemungkinan akan kesal dengan kekurangan bakat terbaik berbanding Indonesia dalam masa terdekat.
-- BERNAMA