MALAYSIA harus mengelak dari terjebak dalam persaingan antara “kuasa besar” dunia, sebaliknya memberi tumpuan kepada menangani pandemik COVID-19 yang semakin meningkat kes positif di negara ini, kata penganalisis politik.

Felo Kanan, Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun berkata, China adalah kuasa besar yang semakin meningkat yang ingin mengambil status antarabangsa yang lebih penting, manakala Amerika Syarikat ingin mengekalkan kedudukannya di tangga teratas dunia.

Dr Oh diminta berkongsi pandangannya mengenai laporan media asing baru-baru ini yang memetik ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai berkata bahawa siasatan terhadap asal-usul pandemik COVID-19 di China terjejas oleh kekurangan data mentah pada hari pertama penularan pandemik itu di sana.

Laporan itu memetik Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa China bersikap telus, terbuka dan bekerjasama.

WHO mahu melancarkan siasatan kedua ke atas asal-usul COVID di China, termasuk audit makmal Wuhan.

Dr Oh berkata: "Saya fikir ini (laporan itu) adalah sebahagian daripada perebutan kuasa yang berterusan di kalangan kuasa besar.

"Malaysia harus bertindak dengan bijak selain tidak berkompromi dengan isu yang membangkitkan suasana tidak harmoni dalam landskap politik antarabangsa.

''Jadi, Malaysia hanya perlu memberi tumpuan kepada menangani pandemiknya dengan baik, terutamanya dalam mempercepatkan program vaksinasi, tidak kurangnya dengan mendapatkan vaksin sebanyak mungkin daripada mana-mana sumber yang sah,'' katanya dalam temu bual melalui WhatsApp bersama DagangNews.com.

Mengenai langkah kerajaan membenarkan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang belum menerima tarikh temu janji untuk berjalan masuk ke mana-mana pusat vaksinasi (PPV) di Lembah Klang untuk vaksin mereka, Dr Oh berkata: 'Walk-in sepatutnya dilakukan dari awal, dan tidak terhad kepada pusat mega dan klinik kerajaan , tetapi kemudahan perubatan swasta dan farmasi dan juga pasar raya seperti di negara lain. 

Beliau menyarankan kerajaan perlu memperluaskan pusat ujian COVID-19 dan turut memberi insentif kepada perniagaan yang mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baik atau sekurang-kurangnya membenarkan mereka menjalankan perniagaan jika tidak, memberi subsidi kepada mereka.

Dr Oh juga berkata, perlu ada pusat vaksinasi yang lebih proaktif terutama di kawasan pedalaman dan di kawasan kejiranan.

Sementara itu, ketika merujuk kepada laporan yang sama, pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel) Ismail Hashim berkata: 'Ya, tidak dinafikan (laporan itu menunjukkan terdapat), perebutan kuasa dunia antara dua kuasa besar, tetapi Malaysia tidak boleh jerumus atau terperangkap dalam isu ini.'

''Keutamaan kita adalah mengendalikan isu -isu (COVID-19) dan kestabilan politik kita,” katanya yang bersetuju dengan pandangan Dr Oh.

Sebagai contoh, beliau berkata, isu kehilangan penerbangan Malaysia Airlines MH370 (pada 2014), sehingga kini masih belum diselesaikan.

''Ia sama dengan pandemik, isu sama ada makmal yang dicipta atau penyakit secara semula jadi akan berterusan dan tidak akan dapat diselesaikan. Apa yang penting bagi negara sekarang, ketika Malaysia sedang menghadapi pandemik ini, ia harus memberi tumpuan kepada bagaimana untuk menangani pandemik ini dan mendapatkan vaksin untuk rakyatnya,” tegas Ismail.

Beliau berkata selama ini dasar luar Malaysia adalah sentiasa berkecuali.  

Pasukan yang diketuai WHO dilaporkan menghabiskan masa selama empat minggu di dalam dan sekitar pusat bandar Wuhan dengan penyelidik China pada Januari.

Dalam laporan bersama yang dikeluarkan pada bulan Mac, pasukan itu berkata virus itu mungkin telah disebarkan dari kelawar kepada manusia melalui haiwan lain.  

–DagangNews.com