Malaysia harus dedah jika pernah terlibat dalam proses "penghantaran pulang khas" CIA

Syafique Shuib
Disember 10, 2014 20:00 MYT
PAULSEN: Malaysia digesa berhenti mengambil bahagian dalam mana-mana proses -Penghantaran Pulang Khas- atas arahan CIA atau kerajaan asing. -Gambar fail
Kerajaan Malaysia digesa berhenti mengambil bahagian dalam mana-mana proses “Penghantaran Pulang Khas” dan ia harus mendedahkan jika pernah bekerjasama dengan Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat atau mana-mana pihak berkuasa asing berhubung penahanan, soal siasat dan penyeksaan individu atas perintah kerajaan asing.
Lawyers for Liberty, dalam satu kenyataan, menyatakan kebimbangan mereka dengan kemungkinan penglibatan Malaysia dalam program CIA yang kejam itu beberapa tahun selepas tragedi “September 11” di New York pada 2001.
Badan bukan kerajaan itu turut menjelaskan bahawa penghantaran pulang khas adalah pemindahan seseorang tanpa proses undang-undang, khususnya kepada mereka yang “disyaki sebagai pengganas”.
Mereka turut ditahan di lokasi yang dirahsiakan bagi soal siasat yang antaranya melibatkan penyeksaan dan kekejaman.
"Jika ini adalah benar, ia adalah satu perkara yang membimbangkan kerana pihak berkuasa Malaysia telah menahan warga asing sewenang-wenangnya dan secara rahsia. Mereka juga mungkin tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah di negara ini.
"Penangkapan dan penahanan dilakukan tanpa asas undang-undang dan dilakukan di luar Perlembagaan Malaysia dan bidang kuasa undang-undang termasuk akses kepada peguam dan juga pendengaran oleh Majistret. Sebaliknya, penangkapan itu dilakukan atas arahan CIA atau pihak berkuasa asing yang lain," kata Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen.
Laporan “Open Society Justice Initiative, Globalizing Torture: CIA Secret Detention and Extraordinary Rendition in 2012” yang dikeluarkan oleh Open Society Justice Initiative melaporkan tentang penahanan dan penghantaran pulang khas warga Libya Abu Abdullah al-Sadiq dan isterinya Fatima Bouchar, yang sedang hamil ketika itu, pada 2004 di Kuala Lumpur.
Laporan itu turut mendedahkan mereka ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia selama 13 hari dalam “keadaan teruk” sebelum “dipindahkan” ke Thailand.
#CIA #Lawyers for Liberty #Malaysia #Penghantaran Pulang Khas
;