Malaysia harap perdagangan dengan AS lebih teratur di bawah Biden

Astro Awani
Januari 22, 2021 13:18 MYT
Tengku Zafrul berkata, harapan itu disandarkan selepas keputusan Biden untuk negara itu kembali menyertai Perjanjian Paris yang menumpukan isu perubahan iklim. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia berharap perdagangan dua hala dengan Amerika Syarikat (AS) akan lebih teratur selepas Joe Biden menjadi Presiden negara itu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, harapan itu disandarkan selepas keputusan Biden untuk negara itu kembali menyertai Perjanjian Paris yang menumpukan isu perubahan iklim.
"Sebenarnya AS adalah syarikat perdagangan rakan niaga yang besar untuk Malaysia, jumlah perdagangan ketiga terbesar dengan RM230 bilion itu pada suku pertama 2020. Ini adalah sekitar 10 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia
"Seperti yang anda tahu China juga adalah rakan dagang utama kami. Jadi kami berharap di bawah pentadbiran Biden perdagangan AS-China akan berjalan dengan teratur di bawah WTO," katanya dalam temu bual bersama Bloomberg, pada Jumaat.
Biden dilantik sebagai Presiden AS Ke-46 di Capitol Hill, Washington DC, pada Rabu.
Upacara mengangkat sumpah jawatan itu dilakukan di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Agung AS.
Tengku Zafrul sebelum ini turut menjelaskan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua menyebabkan negara kerugian RM600 juta sehari berbanding RM2.4 bilion sehari pada Mac hingga Mei, tahun lepas.
Bagaimanapun, beliau meminta rakyat faham bahawa kerajaan telah melakukan yang terbaik dan pada masa sama sentiasa berbincang dengan Kementerian Kesihatan dari sudut ekonomi untuk memastikan usaha yang dilakukan adalah seimbang.
#Paris #kerajaan #China #AS #perintah kawalan pergerakan #Joe Biden #PKP #Amerika Syarikat
;