Malaysia harap lebih ramai pelajar dapat lanjut pelajaran dalam bidang baharu di New Zealand
Bernama
September 2, 2024 14:01 MYT
September 2, 2024 14:01 MYT
PUTRAJAYA: Malaysia berharap New Zealand dapat menimbangkan kemungkinan melonggarkan kemasukan lebih ramai pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang baharu di negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ia khususnya bagi program pascasiswazah dalam bidang-bidang baharu di mana New Zealand telah menunjukkan kepakarannya, termasuk bidang pengajian berkaitan peralihan tenaga dan teknologi makanan.
"Kita juga berharap jumlah penerima Biasiswa Perdana Menteri New Zealand bagi Asia untuk belajar di institusi pengajian tinggi di Malaysia, agar dapat ditingkatkan.
"Pada masa yang sama kami juga ingin menjemput pelajar New Zealand untuk memohon Biasiswa Antarabangsa Malaysia dan menimba pengalaman mengenai kepelbagaian budaya dan warisan di negara ini," katanya kepada media pada sidang media bersama dengan rakan sejawatannya Christopher Luxon, selepas mereka mengadakan mesyuarat dua hala di sini hari ini.
Luxon berada di sini untuk lawatan rasmi tiga hari hingga esok untuk meningkatkan kerjasama dan perbincangan dua hala. Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada bulan November 2023.
Anwar berkata beliau telah mengadakan perbincangan yang berjaya hari ini dengan Luxon mengenai usaha untuk mengukuhkan hubungan yang telah lama terjalin dalam bidang-bidang yang digariskan dalam perkongsian strategik iaitu; kemakmuran, rakyat, planet; dan keamanan dan keselamatan.
Beliau berkata kedua-dua mereka telah membangkitkan banyak isu yang menyentuh kebimbangan bersama dan meninjau langkah ke arah meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
Ia termasuk sektor perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pertanian, pendidikan, pertahanan dan keselamatan, dan sektor halal.
Sementara itu Luxon menyifatkan Malaysia sebagai rakan Asia tertua New Zealand.
"Selaras dengan perkongsian strategik keseluruhan, Perdana Menteri Anwar dan saya hari ini telah bersetuju untuk menyuntik lebih banyak momentum ke dalam kerjasama kami, dan sedang mengembangkan kerjasama pertahanan, termasuk dengan mengerahkan salah satu pasukan PA Poseidon baharu Tentera Udara New Zealand kami ke Butterworth untuk menjalani latihan bersama," katanya.
Beliau berkata pesawat P-8A Poseidon baharu Tentera Udara Diraja New Zealand akan meneruskan amalan jangka panjang pesawat peronda maritim New Zealand yang ditempatkan ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Butterworth sebagai sebahagian daripada latihan FPDA (Five Power Defence Arrangements) akan datang.
"Kami telah bersetuju dengan kerjasama baharu dan meningkatkan usaha membanteras jenayah rentas negara, memerangi keganasan dan menentang ekstremisme ganas," katanya.
Menyentuh tentang ASEAN, Anwar mengalu-alukan penglibatan aktif New Zealand yang berterusan dalam mekanisme yang diterajui ASEAN, dan amat menghargai sokongan tidak berbelah bahagi New Zealand terhadap Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
Mengenai isu Israel-Palestin, Malaysia dan New Zealand menyatakan harapan untuk gencatan senjata di Gaza yang akan membawa kepada keamanan yang berkekalan dan mampan.
Sehingga 2023, 24 projek pelaburan oleh syarikat New Zealand telah diluluskan bernilai RM238.28 juta (US$79.9 juta); menjana 1,137 pekerjaan kepada tenaga kerja Malaysia.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim
#pelajar Malaysia ke New Zealand
#Perdana Menteri New Zealand
#Christopher Luxon
#lawatan rasmi