Malaysia harap dapat umum gelembung lalu lintas udara dengan Singapura tidak lama lagi

Bernama
September 15, 2020 21:51 MYT
Vanu mengadakan kunjungan hormat ke atas Wee (kanan) di pejabatnya pada Selasa, 15 Sept, 2020. - Foto Facebook Wee Ka Siong
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berharap Malaysia dapat mengumumkan gelembung lalu lintas udara dengan Singapura dan rakan hubungan bilateral lain, tidak lama lagi.
Perkara itu antara isu yang dibincangkan dalam kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon di pejabat menteri pada Selasa.
"Kami membincangkan pelbagai isu yang memerlukan perhatian kedua-dua negara bagi membolehkan kedua-dua negara meneruskan pertukaran rakyat secepat mungkin, walaupun bimbang dengan masalah pandemik yang masih berterusan.
"Komuniti perniagaan yang berkait rapat di kedua-dua belah pihak perlu segera berulang-alik dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya malam tadi.
Wee berkata pihak berkuasa kesihatan Malaysia akan membuat pengumuman tidak lama lagi mengenai perjanjian SOP berkenaan.
Mesyuarat itu juga turut mengemas kini perbincangan yang sedang berlangsung untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Malaysia-Singapura (HSR 2.0), kerana kedua-dua pihak semakin menghampiri tarikh 31 Dis sebagai tarikh akhir untuk menandatangani perjanjian dua hala itu.
Wee berkata kejayaan menandatangani perjanjian Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru-Woodlands pada 30 Julai lepas mencerminkan komitmen bersama.
Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak.
-- BERNAMA
#gelembung #gelembung lalu lintas udara #HSR #kereta #kereta api #kesihatan #Malaysia #menteri #mesyuarat #operasi #RTS #Singapura #Sistem Transit Rapid #SOP #udara #Vanu Gopala Menon #Wee Ka Siong