Malaysia gunakan strategi menyeluruh untuk lonjakkan ketibaan pelancong China

Bernama
April 12, 2024 17:45 MYT
Pendekatan ini termasuk menghantar petugas yang cekap dalam bahasa Cina di pintu masuk utama, seta bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menawarkan penerbangan langsung dari bandar-bandar di China. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia mengguna pakai strategi menyeluruh untuk melonjakkan ketibaan pelancong China dan beralih daripada kaedah promosi tradisional untuk mewujudkan ekosistem yang mempertingkatkan pengalaman pelawat.
Pendekatan ini termasuk menghantar petugas yang cekap dalam bahasa Cina di pintu masuk utama, bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menawarkan penerbangan langsung dari bandar-bandar dengan populasi besar dan populasi kecil di China, menjadi rakan kongsi dengan institusi pendidikan dan memanfaatkan pempengaruh media sosial di China, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Manoharan Periasamy memberitahu Xinhua dalam satu wawancara ekslusif baru-baru ini.
"Kami mempunyai syarikat penerbangan tempatan beroperasi luar dari China dan juga sedang berusaha dengan syarikat berpangkalan di China seperti Loong Air, China Eastern dan China Southern, katanya bahawa agensi yang diterajuinya adalah di bawah Kementerian Seni dan Budaya yang menyelaraskannya dengan syarikat penerbangan ini bagi memastikan pengalaman ketibaan yang lancar untuk pelancong.
Meja bantuan yang dikendalikan petugas boleh berbahasa Cina telah disediakan untuk membantu pelancong dengan dokumen digital dan prosedur kemasukan, menyediakan pengalaman sambutan ketibaan yang baik dan cekap, kata Manoharan.
Tarikan unik Malaysia, termasuk pantai yang bersih, pilihan ekopelancongan yang pelbagai, suasana membeli-belah dan kulinari yang hebat semuanya sudah diketahui dengan meluas di China. Selain itu Manoharan menekankan kewujudan populasi etnik Cina yang besar di Malaysia juga memberi kelebihan.
Warga China mudah untuk menyesuaikan diri dan merasa seperti di tempat mereka sendiri semasa lawatan mereka, dan ini menguatkan lagi tarikan Malaysia, katanya.
Program inap desa juga sedang dipromosikan untuk menawarkan pelawat suatu pengalaman budaya yang berbeza. "Ia merupakan pengalaman yang amat berbeza, tinggal bersama keluarga orang tempatan, memahami cara hidup mereka dan makan bersama-sama mereka," kata Manoharan.
Program-program ini sedang dipautkan kepada inisiatif pendidikan, dengan keluarga pelajar China di Malaysia dipelawa untuk melawat dan merasai sendiri negara Asia Tenggara ini.
Akhir sekali, Manoharan berkata Tourism Malaysia juga menjadi rakan kongsi dengan pempengaruh di China untuk menunjukkan destinasi menarik di Malaysia.
Ramai pempengaruh sudah dibawa masuk melancong ke Malaysia untuk memberikan mereka pengalaman secara langsung.
-- BERNAMA
#warga china #pelancong #Malaysia #penerbangan langsung
;