Malaysia guna saluran G2G tangani pencerobohan perairan negara - Saifuddin Nasution

Bernama
Mei 11, 2023 19:54 MYT
Saifuddin bersama anggota APMM Kelantan meninjau keadaan laut dari kapal KM Jujur sempena Op Naga di perairan Laut China Selatan Malaysia-Thailand hari ini. -Bernama
TUMPAT: Malaysia telah memaklumkan masalah berkaitan pencerobohan nelayan asing kepada pihak berkuasa negara terlibat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata hubungan kerajaan kepada kerajaan (G2G) merupakan antara langkah yang diambil bagi menangani masalah pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing.
"Hakikatnya insiden (pencerobohan) terus berlaku, ikhtiar kita adalah melalui agensi penguatkuasaan dan operasi serta mengadakan pertemuan G2G dengan negara jiran baik Thailand, Vietnam dan Indonesia.
"Beberapa bulan lepas melalui kunjungan saya ke Thailand, Filipina dan Indonesia dalam pertemuan dengan rakan sejawatan, hal itu antara perkara saya bangkitkan kerana ia antara usaha pembanterasan secara bersama yang boleh dilakukan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau situasi perairan negara dan melawat Pos Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pengkalan Kubor, di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata demikian ketika diminta mengulas masalah pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing yang terus berlaku biarpun penguatkuasaan oleh agensi berkaitan dilakukan.
Mengulas lanjut, beliau berkata APMM selaku agensi bertanggungjawab mengawal perairan negara terus komited membendung isu pencerobohan oleh nelayan asing.
"Hari ini saya melihat dan merasai sendiri bagaimana komitmen tinggi diberikan agensi ini dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
"Malah pada baru-baru ini ketika kita fokus menyambut hari raya, mereka (APMM) pula memulakan Op Pagar Laut dari 9 hingga 30 April melakukan pengawasan sepanjang masa dan mereka berjaya menyekat kemasukan bot nelayan asing, pendatang tanpa izin, menggagalkan percubaan mencuri dan merompak di pelantar minyak tinggal.
"Dalam tempoh tersebut, mereka berjaya membuat rampasan bernilai keseluruhan RM15 juta," katanya.
-- BERNAMA
#Saifuddin Nasution #G2G #pencerobohan nelayan asing #hubungan kerajaan kepada kerajaan
;