Malaysia guna pendekatan diplomatik pastikan Laut China Selatan kekal aman - Wisma Putra
Astro Awani
April 8, 2023 16:34 MYT
April 8, 2023 16:34 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus mengambil pendekatan diplomatik dalam urusannya dengan negara-negara lain, termasuk China.
Kementerian Luar Negeri menegaskan pendekatan tersebut digunakan antaranya dalam usaha untuk memastikan Laut China Selatan kekal sebagai laut yang aman, stabil, dan selamat untuk laluan perdagangan.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Wisma Putra menjelaskan pendekatan tersebut adalah selaras dengan peruntukan yang terkandung di dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC).
Peruntukan dalam deklarasi tersebut antaranya menyebut penyelesaian konflik dengan aman dan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan, seperti yang dipersetujui oleh Negara-Negara Anggota ASEAN dan China pada 2002.
"Pendekatan rundingan juga sedang diambil Negara-Negara Anggota ASEAN dan China untuk memuktamadkan sebuah Kod Tatalaku di Laut China Selatan.
"Negara-Negara Anggota ASEAN dan China komited terhadap proses ini bagi menghasilkan sebuah Kod Tatalaku berdasarkan undang-undang antarabangsa, termasuk KUUL 1982," katanya kenyataan tersebut.
Sementara itu mengulaskan terma rundingan ketika Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Parlimen pada 4 April lalu, Wisma Putra menjelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bermaksud sebarang isu berkaitan Laut China Selatan perlu dibincangkan atau diselesaikan secara aman.
Rundingan yang dimaksudkan Perdana Menteri itu kata Wisma Putra perlu menggunakan platform sedia ada dan juga melalui saluran diplomatik tanpa menjejaskan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara.
Wisma Putra juga menegaskan pendirian Malaysia berkenaan Laut China Selatan adalah konsisten dan kekal tidak berubah.
"Kerajaan Malaysia tegas dan komited untuk mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia di dalam kawasan maritimnya di Laut China Selatan, seperti yang terkandung dalam Peta Baru Malaysia 1979.
"Malaysia berpendirian teguh bahawa isu-isu berkaitan Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman dan konstruktif, berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (KUUL 1982)," katanya.