Malaysia gesa NAM gandakan usaha henti kekejaman Israel - Mohamad

Astro Awani
Januari 21, 2024 17:51 MYT
Persidangan yang selesai pada Sabtu itu dihadiri Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin yang mewakili Malaysia ke sidang kemuncak tersebut.
KAMPALA: Malaysia terus menyuarakan hak Palestin dan kekejaman Israel kepada dunia dan terbaharu, gesaan itu disuarakan pada Sidang Kemuncak Kesatuan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Ke-19 di Uganda.
Persidangan yang selesai pada Sabtu itu dihadiri Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin yang mewakili Malaysia ke sidang kemuncak tersebut.
Dalam ucapannya, beliau menggesa NAM menggandakan usaha untuk menghentikan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Beliau juga menyatakan sokongan Malaysia bagi penganjuran persidangan antarabangsa diterajuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menubuhkan negara Palestin yang merdeka.
Menerusi ucapan sama, Mohamad turut mengingatkan tujuan utama penubuhan NAM adalah membebaskan negara-negara dari cengkaman kolonialisme dan pelbagai bentuk dominasi.
Beliau juga menggesa NAM agar terus mendesak penghapusan senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran yang dimiliki beberapa negara.
Sidang Kemuncak NAM Ke-19 menutup tirainya pada Sabtu dengan ucapan penutupan olehj Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
#Israel #Palestin #PBB #Mohamad Alamin #sidang kemuncak
;