Malaysia gesa Korea Utara hentikan ujian bom hidrogen - Anifah

Astro Awani
Januari 6, 2016 23:06 MYT
ANIFAH: 'Malaysia gera Korea Utara hentikan ujian bom hidrogen' - Gambar fail
Malaysia menggesa Korea Utara supaya menghentikan sebarang ujian lanjut dan mematuhi dengan sepenuhnya Resolusi-Resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, ia bertujuan mengekalkan keamanan dan keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa.
"Malaysia mengutuk dengan sekeras-kerasnya ujian bom hidrogen bawah tanah yang dilakukan oleh Republik Demokratik Rakyat Korea pada 6 Januari.
"Ujian tersebut merupakan pencabulan yang jelas terhadap Resolusi-Resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan serta merupakan suatu bentuk penentangan yang serius kepada rejim pelucutan dan pengawalan senjata antarabangsa," katanya.
Dalam pada itu katanya, insiden terbaharu itu merupakan ancaman berbahaya kepada keamanan dan keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa.
"Malaysia juga berasa amat kesal dengan apa yang terjadi. Ia juga menjejaskan usaha-usaha global ke arah mencapai matlamat sejagat mengenai pelucutan senjata secara lengkap dan menyeluruh.
"Tindakan Korea Utara sejak beberapa tahun kebelakangan ini hanya menyumbang kepada peningkatan ketegangan di peringkat serantau serta menjejaskan prospek keamanan yang berkekalan di Semenanjung Korea dan dunia secara amnya," jelasnya.
#Anifah #bom hidrogen #Kementerian Luar #Korea
;