Malaysia gesa kerajaan Sweden henti tindakan provokatif bakar al-Quran

Bernama
Jun 29, 2023 05:20 MYT
Mohd Na'im, berkata Kerajaan Perpaduan amat marah dengan keputusan berulang untuk membenarkan tindakan keji itu atas nama kebebasan bersuara. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia menyeru kerajaan Sweden untuk menghentikan memberi kelulusan kepada tindakan provokatif membakar al-Quran di Stockholm, Sweden, semalam, yang jelas merupakan jenayah kebencian dan pelaku harus dipertanggungjawabkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar, berkata Kerajaan Perpaduan amat bimbang dan marah dengan keputusan berulang untuk membenarkan tindakan keji itu atas nama kebebasan bersuara dan bahawa negara berdiri dalam solidariti dengan komuniti yang terjejas.
"Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji tersebut di luar sebuah masjid di Stockholm pada sambutan Aidiladha iaitu pada hari kegembiraan, perayaan dan perpaduan yang penting bagi umat Islam di seluruh dunia. Ini adalah manifestasi jelas kebencian, sikap tidak bertoleransi agama dan Islamofobia.
"Kebebasan bersuara adalah hak asasi tetapi adalah penting untuk mendukung hak ini dalam lingkungan batasan dengan penuh menghormati dan bertanggungjawab," katanya dalam kenyatan, di sini, Khamis malam.
"Kami menyeru semua pihak untuk mengecam tindakan tidak bertoleransi agama ini, berdiri bersama menentang kebencian dan menggalakkan persefahaman, rasa hormat dan keharmonian dalam kalangan semua anggota masyarakat yang pelbagai," katanya.
-- BERNAMA
#Aidiladha #Kerajaan Perpaduan #Al-Quran #Islamofobia
;