Malaysia gesa diwujudkan agensi PBB urus isu air

Bernama
Mac 24, 2023 16:43 MYT
Agenda Tindakan Air memerlukan rangka kerja yang menegaskan mengenai peranan air sebagai tonggak yang menghubungkan hasil sosial, alam sekitar, ekonomi dan budaya. - Gambar United Nation
KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan diwujudkan sebuah agensi khusus untuk air di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi melaksanakan Agenda Tindakan Air, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.
Bercakap sempena Persidangan Air 2023 PBB di New York, Amerika Syarikat pada Khamis, beliau berkata Agenda Tindakan Air memerlukan rangka kerja yang menegaskan mengenai peranan air sebagai tonggak yang menghubungkan hasil sosial, alam sekitar, ekonomi dan budaya.
Perkara ini, katanya, harus dijadikan agenda tetap dalam rangka kerja PBB.
"PBB perlu terus membantu mewujudkan mekanisme bagi membolehkan negara maju menyediakan bantuan kewangan dan teknikal, dan pembangunan kapasiti untuk mempercepatkan pencapaian SDG 6 (Matlamat Pembangunan Mampan 6)," katanya.
Nik Nazmi turut meminta masyarakat global memperakui bahawa krisis iklim adalah krisis air memandangkan dunia berdepan kekurangan air, peruntukan sanitasi yang tidak mencukupi, serta bencana yang lebih teruk dan kerap serta kejadian cuaca ekstrem.
Nik Nazmi menegaskan bahawa Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim dalam Laporan Penilaian Keenam memaklumkan bahawa golongan yang paling terdedah sering terjejas secara tidak seimbang dan diketepikan secara berlebihan sekali gus mencetuskan cabaran besar untuk pembangunan selatan global.
"Perubahan iklim memburukkan dan melebarkan jurang pembangunan sedia ada. Air adalah tumpuan untuk menangani isu ini," tambahnya.
Selain itu, beliau juga menggesa satu rangka kerja diadakan untuk daya tahan dan ia harus bermula dengan air, dengan menggabungkan iklim, alam sekitar dan pembangunan.
Nik Nazmi juga menegaskan bahawa setiap rancangan pembangunan mesti mempertimbangkan elemen berkaitan air dan impaknya yang diterima tidak harus mengabaikan alam sekitar demi pertumbuhan, dan tindakan untuk air juga harus diberikan keutamaan berbanding perubahan iklim dan sebaliknya.
Berucap kepada perwakilan pada persidangan itu, beliau turut berkongsi beberapa kejayaan Malaysia termasuk Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) yang bukan sahaja berfungsi untuk mengurangkan risiko banjir tetapi juga berkesan dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.
Beliau juga berkata Malaysia berjaya mencapai 97 peratus akses bekalan air manakala perkhidmatan pembetungan telah mencapai 85.4 peratus, terutamanya di bandar utama.
Pada penghujung 2025, beliau berkata Malaysia menyasarkan untuk mencapai 98 peratus liputan air bersih untuk kawasan luar bandar dan 90 peratus khidmat liputan pembetungan.
Nik Nazmi menegaskan komitmen Malaysia terhadap keselamatan air dan akses kepada sistem bekalan air dan sanitasi yang boleh dipercayai, mencukupi, bersih dan berkualiti untuk dunia.
-- BERNAMA
#Nik Nazmi #Persidangan Air 2023 PBB #agensi khusus untuk air #Agenda Tindakan Air
;