Malaysia garis tiga perkara utama demi kemerdekaan Palestin
Harits Asyraf Hasnan
Jun 12, 2024 11:35 MYT
Jun 12, 2024 11:35 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia menggariskan tiga perkara yang perlu menjadi keutamaan warga dunia dalam memastikan konflik di Palestin diselesaikan dengan segera.
Pada masa sama, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, semua pihak harus menyokong usaha-usaha ke arah mencapai penyelesaian damai.
"Dalam jangka panjang, tindak balas kemanusiaan yang berjaya dan berkesan untuk Gaza adalah bergantung kepada tiga elemen utama berikut:
"Pertama: Kita memerlukan tindak balas kemanusiaan yang menyeluruh, serta strategi pemulihan dan pembinaan semula yang menangani punca utama, iaitu penafian penentuan nasib sendiri, dan pendudukan haram dan kekejaman Israel yang berpanjangan. Hak sedia ada Palestin sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mesti direalisasikan.
"Kedua: Sebagai Kuasa Pendudukan, Israel mesti bertanggungjawab, melalui pendekatan reparatif, dalam membina semula Gaza, dan atas pelanggaran besar yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.
"Ketiga: Kita mesti memperkukuh peranan PBB dalam melaksanakan kemanusiaannya mandat. UNRWA mesti diberi kuasa, disokong dan dilindungi, untuk membolehkannya menyampaikan bantuan kemanusiaan, dan pemulihan segera dalam infrastruktur sosial, termasuk perkhidmatan penjagaan kesihatan dan sokongan psiko-sosial, dan berskala," katanya.
Beliau menegaskan perkara tersebut dalam Persidangan Peringkat Tinggi “Panggilan Untuk Bertindak: Respons Kemanusiaan Segera untuk Gaza" di Amman, Jordan pada Rabu.
Beliau pada masa sama turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk menggandakan dan menggembleng usaha untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza ekoran situasi rakyat Palestin semakin meruncing.
"Ini termasuk dalam konteks pemulihan dan pembangunan semula Gaza yang memerlukan sokongan semua pihak memandangkan ia akan memakan kos yang tinggi dan mengambil masa yang panjang.
"Pada masa yang sama, saya telah menekankan bahawa genjatan senjata yang berkekalan, serta penyelesaian politik perlu dilaksanakan, bagi penyaluran bantuan kemanusiaan yang berkesan," tegasnya.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata perbincangan juga telah menjurus kepada masalah-masalah utama akibat sekatan rejim Israel, antaranya penutupan pintu sempadan Rafah, larangan ke atas barangan yang mempunyai ciri dwi-guna (dual use), dan kekangan kemasukan lori pengangkutan bantuan kemanusiaan, di mana anggaran keperluan muatan yang diperlukan adalah sebanyak 1,000 lori setiap hari.
Penyertaan Malaysia di persidangan ini adalah atas jemputan Raja Jordan, Raja Abdullah II; Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa ke atas keterlibatan negara dalam memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasan mutlak Palestin.