Malaysia gantung serta-merta operasi pesawat Boeing 737 MAX

Astro Awani
Mac 12, 2019 20:17 MYT
Keputusan itu kekal sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung semua penerbangan keluar masuk menggunakan Boeing 737 MAX 8 dari negara ini berkuat kuasa serta merta.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Ahmad Nizar Zolfakar dalam satu kenyataan pada Selasa, penggantungan itu kekal sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.
BACA: Singapura gantung sementara operasi pesawat Boeing 737 MAX
BACA: Tiga negara gantung khidmat Boeing 737 Max 8
"Untuk Malaysia, kami mengesahkan bahawa tiada pesawat negara ini yang menggunakan Boeing 737 MAX 8.
"CAAM dengan serta-merta menggantung operasi pesawat Boeing 737 MAX 8 keluar atau masuk Malaysia dan juga transit ke Malaysia sehingga notis berikutnya," katanya kenyataan tersebut pada Selasa.
Kenyataan itu susulan tragedi yang menimpa pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas ketika dalam penerbangan dari Addis Ababa ke Nairobi pada Ahad dan mengorbankan kesemua 157 penumpang dan kru.
Nahas ini juga merupakan tragedi kedua melibatkan pesawat jenis Boeing 737 Max 8 dalam tempoh lima bulan selepas pesawat syarikat penerbangan tambang murah Lion Air terhempas Oktober lalu mengorbankan kesemua 189 penumpang dan anak kapalnya.
Terdahulu, Malaysia Airlines (MAS) dalam kenyataannya memaklumkan syarikat berkenaan tidak menggunakan pesawat jenis 737 Max 8.
MAS dalam kenyataannya pagi tadi berkata ia telah meminta maklumat teknikal daripada Boeing berhubung penghantaran pesawatnya pada 2020.
#Ahmad Nizar Zolfakar #Boeing 737 MAX 8 #Ethiopian Airlines #Ketua Pegawai Eksekutif CAAM #Malaysia gantung pesawat Boeing 737 MAX 8 #penerbangan keluar masuk #pihak berkuasa penerbangan awam malaysia
;