Malaysia galak kemasukan pelaburan secara selektif ke dalam negara - Azmin

Bernama
Jun 26, 2021 13:00 MYT
Malaysia kini lebih menggalakkan kemasukan pelaburan secara selektif ke dalam negara bagi mencapai status berpendapatan tinggi, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia kini lebih menggalakkan kemasukan pelaburan secara selektif ke dalam negara bagi mencapai status berpendapatan tinggi sejajar dengan dasar pelaburan baharu untuk menarik lebih ramai pelabur berkualiti tinggi semasa dan selepas tempoh pandemik COVID-19.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia bertepatan dengan dasar baharu, Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), yang akan menjana pekerjaan berpendapatan tinggi, terutama pada pasca-COVID-19 dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat.
"Selepas perbincangan dan libat urus bersama Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia pada Mac lalu, kami berpendapat inilah masa yang sesuai untuk memperkenalkan dasar ini.
"Tujuannya adalah menarik pelaburan berkualiti tinggi dan berteknologi agar negara kita boleh bersedia dengan tenaga kerja yang memenuhi permintaan industri dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing," katanya menerusi catatan di laman Facebook rasminya pada Sabtu.
Beliau berkata, pada masa sama, Bank Dunia turut mengunjurkan Malaysia mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Syarikat berkenaan masing-masing akan menciptakan 5,000 peluang pekerjaan yang berkualiti, katanya.
Beliau berkata kerajaan amat komited dalam membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat, terutama pada pasca-COVID-19.
"Namun, untuk merealisasikannya, kita memerlukan ketekunan dan keterbukaan untuk mencapai pertumbuhan yang inklusif dan mampan.
"Saya berharap dengan adanya dasar baharu ini ia akan kekal menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dunia," katanya. - BERNAMA
#Malaysia #pelaburan #berpendapatan tinggi #Aspirasi Pelaburan Nasional #Azmin Ali #Bank Negara Malaysia #Kementerian Kewangan #Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia
;