Malaysia fokus pelaburan sektor pembuatan teknologi tinggi

Rahimah Abdullah
November 27, 2019 18:35 MYT
Menurut Perdana Menteri, langkah itu selaras dengan usaha untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi. - Foto BERNAMA
Malaysia mahu melihat pelaburan dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi termasuk Revolusi Industri 4.0, tenaga boleh diperbaharui dan perkhidmatan yang mewujudkan pekerjaan nilai tinggi, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Perdana Menteri, langkah itu selaras dengan usaha untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
Katanya, Malaysia sentiasa membuka pelaburan asing tanpa mengenal sektor dan kedudukan.
“Bagaimanapun, Malaysia perlu lebih bijak dalam industri yang ingin diceburi berbanding dengan sebelum ini yang hanya berpuas hati dengan apa-apa jenis pelaburan,” katanya semasa ucapan pembukaan Mesyuarat Meja Bulat bersama Ketua Industri Korea Selatan di sini pada Rabu.
Semasa pengumuman Belanjawan 2020 baru-baru ini, beliau berkata, kerajaan telah menggariskan pakej insentif baharu yang mengambil kira persekitaran ekonomi global dan masa depan negara pada tahun 2020.
“Pada tahun 2018, Bank Dunia mengklasifikasikan negara berpendapatan tinggi dengan mempunyai AS$12,056 atau lebih PNK per kapita (berdasarkan kaedah Atlas).
“Pada tahun 2018, Malaysia telah mencapai AS$10,460 untuk GNI per kapita, meletakkan negara ini dengan kukuh di negara berpendapatan menengah ke atas,” ujar beliau.
Walau bagaimanapun, kerajaan, katanya, berusaha memastikan sebuah masyarakat yang demokratik dengan ekonomi maju serta berpegang kepada kedaulatan undang-undang.
#Mahathir Mohamad #Malaysia #Perdana Menteri #revolusi industri 4 0 #sektor pembuatan
;