Malaysia, Filipina setuju terus sokong kepusatan ASEAN tangani 5PC di Myanmar

Bernama
Julai 26, 2023 21:38 MYT
Anwar berkata khususnya dalam isu Myanmar, keperluan untuk mengukuhkan 5PC adalah antara topik perbincangan dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. pada Rabu. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia dan Filipina bersetuju untuk menyokong Kepusatan ASEAN dan terus bekerjasama rapat untuk menangani pelbagai cabaran yang ditimbulkan oleh geopolitik dan sosioekonomi yang sentiasa berubah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata khususnya dalam isu Myanmar, keperluan untuk mengukuhkan Konsensus Lima Perkara (5PC) adalah antara topik perbincangan dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. pada Rabu.
"Kami menyentuh isu Myanmar untuk mengukuhkan 5PC ASEAN tetapi juga memberi sedikit kelonggaran dan ruang kepada negara jiran untuk melibatkan diri secara tidak formal tanpa mengorbankan isu hak asasi manusia dan layanan terhadap minoriti terutamanya Rohingya dan minoriti lain di Myanmar," katanya.
Perdana menteri berkata demikian semasa sidang media bersama sempena lawatan negara tiga hari Marcos ke Malaysia.
Sementara itu, Marcos berkata kedua-dua negara mengesahkan semula komitmen untuk menyokong aktiviti dalam konteks ASEAN dan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur- Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMB-EAGA) dalam mengiktiraf kepentingan Kepusatan ASEAN.
Kepusatan ASEAN ialah konsep yang membayangkan ASEAN berfungsi sebagai platform serantau yang kuat dalam menangani cabaran dan melibatkan diri dengan kuasa luar.
Marcos berkata Kepusatan ASEAN akan menjadi aspek penting dalam menangani semua isu yang sedang dihadapi oleh rantau ini.
Pada 24 April 2021, pemimpin sembilan negara anggota ASEAN dan ketua junta Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, bersetuju dengan 5PC: penamatan segera keganasan di negara itu; dialog antara semua pihak; pelantikan utusan khas; bantuan kemanusiaan oleh ASEAN; dan lawatan utusan khas ke Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak.
Myanmar telah terjerumus dengan konflik antara pasukan keselamatan dan rakyat yang berlaku sejak Jeneral Kanan Min Aung Hlaing menggulingkan kerajaan awam pada 1 Feb 2021. Pelanggaran hak asasi manusia yang serius turut dilaporkan.
Rejim tentera Myanmar melanjutkan perintah darurat selama enam bulan lagi dan menangguhkan pilihan raya yang dijadual pada Ogos ketika junta memerangi pejuang anti-rampasan kuasa di seluruh negara.
Terdahulu, Marcos diberi sambutan negara di Istana Negara sempena lawatan sulungnya ke Malaysia yang bermula Selasa.
Dalam ucapannya pada Majlis Jamuan Negara yang diadakan bagi meraikan kunjungan Marcos dan isterinya Louise Araneta-Marcos, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Filipina adalah rakan penting kepada Malaysia, memandangkan kedudukan Filipina berdekatan dan penglibatan aktif dalam ASEAN .
Presiden turut mengadakan mesyuarat dan menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Filipina di sini pada Selasa.
-- BERNAMA
#ASEAN #lawatan sulung #rakan penting #isu hak asasi
;