Malaysia-Filipina: Prospek hubungan pendidikan dua negara boleh dikembangkan - Penganalisis

Fareez Azman
Mac 2, 2023 17:54 MYT
Menurut Dr Nur Dayana Mohamed Ariffin, hubungan dua negara itu sudah lama terjalin, malah sejarah membuktikan Malaysia dan Filipina mempunyai persamaan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Prospek hubungan pendidikan di antara Malaysia dan Filipina boleh dikembangkan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama dua hari ke negara itu.
Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), Dr Nur Dayana Mohamed Ariffin, hubungan dua negara itu sudah lama terjalin, malah sejarah membuktikan Malaysia dan Filipina mempunyai persamaan.
Namun ujarnya, sudut pendidikan boleh dikembangkan oleh dua negara menerusi pelbagai kerjasama demi memanfaatkan rakyat.
"Lawatan Anwar kali ini sebagai satu peluang kita mendekatkan lagi hubungan luar, bukan setakat menyelesaikan masalah kita dengan Filipina terutama di Selatan Filipina mengenai hubungan dengan Sabah.
"Tetapi ada peluang lain kita nak balik ke normal baharu seperti e-dagang, itu satu peluang yang juga dibincangkan Anwar dan Presiden Ferdinand Marcos Jr.
"Selain itu, boleh ditambah juga hubungan pendidikan kerana Anwar baru sahaja berada di Universiti of Phillipines, satu universiti yang mempunyai reputasi sangat baik dan tertua di negara itu," jelasnya.
BACA: ASEAN: "Tidak campur tangan bukan lesen untuk sikap tidak ambil peduli" - PM Anwar
BACA: Anwar terima Anugerah Ijazah Kehormat Universiti Filipina
Tambah Nur Dayana, selain pendidikan, pelbagai kerjasama boleh dijalinkan di antara Malaysia dan Filipina menerusi sektor ekonomi, sosial serta keselamatan serantau.
Malah jelasnya, sehingga kini lebih 1.4 juta rakyat Filipina bekerja di Borneo sekali gus perlu ada kerjasama yang membawa manfaat kepada rakyat di kedua-dua negara.
"Kita mahu melihat bagaimana kita (Malaysia-Filipina) boleh bekerjasama selepas COVID-19, hubungan antarabangsa dan menjaga kebajikan rakyat kita di sana serta ahli ASEAN di Malaysia, kebajikan rakyat itu perlu dilihat dan dijaga," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Manila pada Rabu untuk lawatan rasmi selama dua hari di Filipina yang juga negara ASEAN kelima dikunjunginya sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada November tahun lepas.
Anwar turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya Presiden Ferdinand Marcos Jr di Istana Malacanang.
#PM #Anwar Ibrahim #Filipina #Malaysia
;