Malaysia-Filipina perlu duduk semeja bincang isu berbangkit
Astro Awani
Ogos 28, 2020 13:48 MYT
Ogos 28, 2020 13:48 MYT
Kerajaan Persekutuan digesa mengadakan rundingan terus dengan kerajaan Filipina agar isu berkaitan kedaulatan tidak lagi dipertikai oleh mana-mana pihak termasuk masyarakat dunia.
Sebarang tindakan dan rundingan yang bakal diadakan selepas ini juga harus berpaksikan kepada kedaulatan negara dan kepentingan rakyat Malaysia secara amnya.
Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan perkara seumpama ini tidak seharusnya dijadikan agenda politik semata-mata sebaliknya wajib menjadi agenda negara.
"Perkara ini tidak harus timbul pada setiap ketika bila menjelang pilihan raya ataupun timbul apabila ada apa-apa keadaan.
"Kita mahukan supaya Kerajaan Persekutuan untuk berunding government-to-government antara negara Filipina dengan negara Malaysia yang ada di dalam landasan negara ASEAN.
"Kerana ia telah dilakukan ketika kita menyambut kemerdekaan dulu dan termaktub di dalam cobbolt comission telah pun ada referendum yang ditanya oleh rakyat di negara ini, tapi terkadang ini banyak jadi umpatan.
"Hari ini kalau kita tidak respons, mengapa tidak respons bila kita respons, kenapa ini perlu respons, tapi saya faham dan tahu ada masa sebelum ini sesetengah pihak menjawat jawatan yang tinggi selaku menteri luar tapi mereka tidak mengambil langkah-langkah seumpamanya."jelasnya yang ditemui di pejabatnya di Kota Kinabalu pada Jumaat.
Jelas Mohd Shafie lagi usul yang dibawa ke pengetahuan dewan rakyat pada khamis adalah bertujuan mengangkat suara rakyat yang mahu tuntutan seumpama tidak lagi timbul di masa hadapan.
"Kejadian yang ada berlaku pada hari ini kita nak menyuarakan hak kita sebagai rakyat di negara ini berkenaan tuntutan terhadap negeri sabah oleh kerajaan filipina tidak harus timbul lagi dan harus dipadamkan.
"Dan ini kena kita maklumkan kepada negara jiran kita Filipina menerusi kerajaan, kerjasama antara govt to govt antara negara Malaysia dan juga kerajaan Filipina.
"Kerana kita sedar kejadian tanduo tidak berlaku semasa kerajaan warisan, itu lagi parah dan teruk berbanding dengan hanya kita membawa usul untuk dibincang diselesaikan diperingkat negara-negara ASEAN yang ada dan tidak harus timbul lagi."katanya.
Shafie pada sama menggesa kerajaan Filipina agar tidak melihat perkara ini sebagai perkara kecil kerana ia bakal menimbulkan perpecahan kalangan rakyat negara ini.
"Kita minta negara jiran kita Filipina jangan mengambil perkara ini sebagai perkara yang kecil kerana ianya menjadi hambatan isu sehingga ada sesetangah pihak menganggap seakan-akan ini boleh memecahbelah rakyat di negara ini.
"Jadi kita harus mengambil serius dengan perkara ini. dan tidak hanya jadi agenda politik semata-mata sebaliknya jadi agenda negara."jelasnya.
Tambah Shafie perkara ini harus berada di peringkat perbincangan yang mutlak kerana ia telah diiktiraf di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).