Malaysia, Filipina meterai MoU semasa Mesyuarat Suruhanjaya Bersama pada Oktober - PM Anwar

Bernama
Julai 26, 2023 11:53 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersalaman dengan Ferdinand Marcos Jr ketika sidang media selepas menerima kunjungan hormat Presiden Filipina di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Mesyuarat Suruhanjaya Bersama antara Malaysia dan Filipina yang dijadual berlangsung di sini pada Oktober, dijangka menyaksikan beberapa memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita (Malaysia dan Filipina) mempunyai MoU tertunggak yang mana kedua-dua kita telah bersetuju untuk mempercepatkan prosesnya dan berusaha mencari jalan untuk menyelesaikannya dan diharap dapat ditandatangani semasa mesyuarat suruhanjaya itu," katanya pada sidang media bersama dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, di sini, hari ini.
Semasa perbincangan beliau bersama Presiden Marcos sebelumnya, Anwar berkata kedua-dua negara telah membincangkan perkara berkaitan isu dua hala dalam pelaburan dan perdagangan yang mencatatkan sedikit peningkatan, namun mempunyai potensi yang besar yang perlu diterokai oleh kedua-dua pihak.
"Kedua-dua komuniti perniagaan (Malaysia dan Filipina) perlu lebih banyak berinteraksi antara satu sama lain dan mengambil langkah bersama-sama untuk meningkatkan hubungan dua hala serta ekonomi dan perdagangan, dan pada masa yang sama membantu memulihkan ekonomi pasca pandemik.
"Kami juga menyentuh mengenai potensi industri halal, bagi kedua-dua negara. Kami sudah pastinya akan melakukan yang terbaik dari segi isu atau pensijilan. Tetapi saya fikir kita perlu bersama-sama mengambil langkah yang efektif untuk memastikan industri halal boleh menembusi dengan lebih berkesan lagi ke Pasaran Timur Tengah khususnya," katanya.
[TERKINI] Sidang media bersama Perdana Menteri dan Presiden Filipina
Sementara itu, Marcos berkata mesyuarat suruhanjaya bersama itu akan menjadi saluran untuk kedua-dua agensi kerajaan membincangkan kerjasama keutamaan secara terperinci, terutamanya berkaitan jenayah rentas negara, pertanian, industri Halal, perbankan Islam, pendidikan, pelancongan, dan kebudayaan, sukan dan ekonomi digital.
"Kami terus mengusahakan MoU yang sepadan dalam bidang pergantungan dan kami akan memeterainya dalam masa terdekat. Berdasarkan kepada hubungan dua hala kita, kerajaan kami komited untuk menyelaraskan usaha membangun kapasiti di wilayah autonomi Bangsamoro di Filipina Selatan di Mindanao Muslim, terutamanya dalam sektor seperti industri halal, perbankan Islam dan jaminan makanan," katanya.
Marcos berkata Malaysia juga menawarkan kepakarannya untuk melatih kakitangan dan pegawai Filipina bagi memantapkan lagi keupayaan mereka dalam sektor yang semakin penting ini.
"Kami juga bersetuju untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara satu sama lain, dengan Malaysia sebagai salah satu daripada peneraju utama industri halal di dunia. Kerjasama dalam sektor ini akan memberi manfaat bersama kepada pertumbuhan ekosistem masing-masing," katanya.
-- BERNAMA
#Mesyuarat Suruhanjaya Bersama #MoU #Anwar Ibrahim #Malaysia #Filipina