Malaysia-Filipina-Indonesia bekerjasama tangani ancaman militan Abu Sayyaf
Bernama
Ogos 28, 2016 20:58 MYT
Ogos 28, 2016 20:58 MYT
Malaysia menjalin kerjasama erat dengan Filipina dan Indonesia dalam menangani ancaman kumpulan militan Abu Sayyaf termasuk kes penculikan oleh kumpulan itu di Laut Sulu, kata Menteri Pertahanan
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata melalui kerjasama itu, ketiga-tiga negara berjiran dapat menyelaraskan termasuk dari segi anggota tentera dan aset ketenteraan bagi membentuk sistem lebih efektif dalam menghadapi dan seterusnya menghapuskan ancaman tersebut.
Katanya dalam menghadapi musuh yang sama, ketiga-tiga negara memerlukan Prosedur Operasi Standard dan perancangan bersama yang membolehkan negara terlibat menggerakkan anggota tentera serta aset ketenteraan.
"Kita fikirkan bagaimana (tangani) di Laut Sulu ... kita tahu Abu Sayyaf menyokong (militan) Daesh dan ada perancangan wujudkan wilayah Islamiah libat tiga negara ini.
"Kita (ketiga-tiga negara) sedang terokai (kerjasama) melibatkan kementerian luar, kementerian dalam negeri (serta kementerian pertahanan) dan mendapat persetujuan serta mandat pemimpin tertinggi negara terlibat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Bukit
Katil, di sini hari ini.
Hishammuddin berkata demikian ketika ditanya pemberita tentang tindakan agresif kerajaan Filipina diketuai Presidennya Rodrigo Duterte pada masa ini menggempur kumpulan militan Abu Sayyaf di negara itu.
Beliau berkata dalam mengekang ancaman Abu Sayyaf di negara ini, Malaysia mengambil langkah proaktif termasuk menempatkan tentera dan aset pertahanan di lokasi strategik.
"Pesawat pejuang kita telah dipindahkan ke Labuan, kita juga wujudkan pangkalan hadapan terutama untuk tempatkan helikopter.
"(Kereta perisai) Gempita telah ditempatkan di Tawau, dan keputusan dibuat untuk menempatkan satu batalion (tentera) di sana, jadi sejak insiden (pencerobohan) Lahad Datu (Sabah), kita tak duduk diam (ambil langkah perlu)," katanya.
Bagaimanapun, Hishammuddin berkata beliau kesal dengan sikap pemimpin pembangkang yang tidak faham atau sengaja tidak mahu faham tentang keperluan negara menangani ancaman seperti itu sehingga sanggup mengatakan insiden pencerobohan Lahad Datu hanyalah sandiwara kerajaan.
#Hishammuddin Hussein
#Indonesia tangani Abu Sayyaf
#Laut Sulu
#Malaysia menjalin kerjasama erat dengan Filipina