Malaysia, EU akan meterai PCA pada Januari 2019

Bernama
Oktober 18, 2018 06:03 MYT
Dr Wan Azizah bersalaman dengan Timbalan Perdana Menteri Belgium Jan Jambon semasa mesyuarat dua hala yang diadakan di pejabat Jan Jambon di Brussels, 18 Okt, 2018. --fotoBERNAMA
Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) merancang untuk menandatangani perjanjian kerjasama perkongsian (PCA) pada Januari 2019, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Malaysia akan melihat perdagangan dua hala dan pelaburan dengan lebih meluas apabila PCA ditandatangani dengan EU, katanya kepada Bernama dan RTM selepas menemui Federica Maria Mogherini, Wakil Tinggi EU bagi Dasar Luar Negeri dan Dasar Keselamatan pada Khamis.
PCA merupakan perjanjian komprehensif mengenai kerjasama dua hala dan pelbagai hala merangkumi politik, ekonomi, perdagangan, pelaburan, keadilan, budaya, pendidikan, sains dan teknologi, penjagaan kesihatan, pertanian, pelancongan, tenaga, trafik dan alam sekitar.
Negara anggota ASEAN perlu menandatangani PCA dengan EU untuk melayakkan kepada perjanjian perdagangan bebas (FTA).
"Dalam perbincangan kami, Federica Maria menyatakan EU menganggap Malaysia sebagai rakan penting di rantau ASEAN dan bersedia untuk menjalin kerjasama demi kebaikan bersama.
"Kami turut berbincang mengenai industri minyak sawit dan EU memahami bahawa ia adalah sumber pendapatan utama 650,000 pekebun kecil Malaysia.
"Dengan penilaian semula ini, PCA antara Malaysia dan EU telah dirancang untuk ditandatangani pada Januari tahun depan," katanya.
Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata aspek FTA Malaysia dan EU akan diperincikan secara lebih mendalam terutamanya dari segi implikasinya kepada ekonomi negara.
Dr Wan Azizah tiba di sini pada Rabu untuk mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat Sidang Kemuncak Asia-Eropah Ke-12 (ASEM) yang bermula Khamis.
Sidang Kemuncak ASEM selama dua hari itu menghimpunkan ketua-ketua negara atau kerajaan 51 negara Eropah dan Asia, wakil daripada EU dan Setiausaha Agung ASEAN.
Beliau dijangka menghadiri sesi penuh sidang kemuncak itu, menyampaikan kenyataan pada sidang pleno kedua, selain dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan perdana menteri Belanda, Ireland dan Norway, di luar sidang kemuncak itu.
-- BERNAMA
#ASEAN #ASEM #Brussels #ekonomi #EU #Federica Maria Mogherini #FTA #minyak sawit #PCA #pelaburan #perdagangan dua hala #perjanjian kerjasama perkongsian #perjanjian perdagangan bebas #Sidang Kemuncak Asia-Eropah #Wan Azizah Wan Ismail
;