Malaysia duduki kerusi Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa
Astro Awani
Disember 1, 2013 15:38 MYT
Disember 1, 2013 15:38 MYT
Malaysia memenangi kerusi Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi kategori C untuk Penggal 2014-2015, pada persidangan Agung IMO di London, semalam.
Pemilihan itu dibuat setelah memperolehi 125 undi daripada 170 anggota dalam kategori tersebut membuktikan pengiktirafan dan penghargaan di peringkat antarabangsa.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien berkata pemilihan kali kelima berturut-turut itu adalah pencapaian yang membanggakan dan penghormatan kepada negara.
Katanya sekaligus mencerminkan kegemilangan negara dalam memainkan peranan bagi sektor maritim di pentas dunia.
“Segala-galanya dasar polisi undang-undang antarabangsa yang berhubung kait dengan maritim mesti melalui IMO sama juga dengan dasar pemantauan penerbangan ruang udara ICEO ini badan tertinggi untuk perjalanan maritim dan ruang udara tapi pengiktirafan yang cukup bermakna sekalgus membuktkan negara kita dihormati dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program berkhatan dan majlis penutup satu komuniti satu JPJ (SKSJ) Parlimen Sembrong di Dewan Orang Ramai Kahang Barat, Kluang Johor.
Jelas Hishamuddin, IMO memilih Malaysia dan 19 negara lain bagi kategori C iaitu negara yang mempunyai kepentingan dalam industri perkapalan dan perdagangan laut mewakili rantau geografi masing-masing.
Katanya pemilihan itu adalah program utama dalam perhimpunan Agung IMO yang berlangsung setiap dua tahun.
IMO adalah sebuah agensi pakar yang ditubuhkan di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Ianya bertanggungjawab ke atas hal berkaitan keselamatan maritim, keberkesanan pelayaran dan pencegahan serta kawalan pencemaran laut yang dihasilkan oleh kapal.