Malaysia dipilih semula sebagai Pengerusi APCERT bagi 2020-2021

Bernama
September 30, 2020 05:10 MYT
CyberSecurity Malaysia adalah antara pengasas bersama APCERT sejak 2002 dan ini merupakan kali ketiga ia dilantik sebagai Pengerusi selepas pelantikan pertama pada 2007 dan yang kedua pada 2019-2020. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Malaysia melalui CyberSecurity Malaysia telah dipilih semula sebagai Pengerusi Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT) bagi tempoh 2020-2021 dalam Mesyuarat Agung Tahunannya (AGM) semalam.
Pengerusi CyberSecurity Malaysia Jeneral (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed berkata tidak seperti AGM sebelumnya, pada tahun ini mesyuarat itu dikendalikan secara dalam talian susulan penularan pandemik COVID-19 dengan dihoskan Sekretariat APCERT iaitu Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Jepun/Pusat Penyelarasan (JPCERT/CC).
"Acara ini konsisten dengan visi APCERT untuk mewujudkan ruang siber yang lebih selamat, bersih dan boleh dipercayai dalam Rantau Asia Pasifik menerusi kerjasama dan kepercayaan global.
"Sebagai Pengerusi, CyberSecurity Malaysia menggalakkan lebih banyak penglibatan anggota untuk bergerak ke hadapan sambil terus menerajui Kumpulan Kerja Mitigasi Malware APCERT, satu inisiatif kolaborasi dalam kalangan negara APCERT dan OIC dalam usaha mengembangkan penyelidikan, analisis dan tindak balas malware bagi melindungi komuniti daripada ancaman malware," menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Azumi berkata ini adalah satu lagi pencapaian bagi CyberSecurity Malaysia sebagai mengiktiraf kepakaran teknikal, kepimpinan dan profesionalismenya.
Selain itu, beliau berkata sebagai Pengerusi, agensi tersebut bertanggungawab menyediakan arahan strategik dan panduan bagi mengekalkan kerelevanan APCERT.
"CyberSecurity Malaysia akan terus membangun dan menggalakkan usaha pelbagai pihak, rangka kerja, norma baharu, perkongsian maklumat dan menyokong peraturan digital jika kita ingin mewujudkan satu ruang siber yang dipercayai dan tahan lasak yang masa depannya terletak di tangan semua pihak di rantau ini," katanya.
Menurut kenyataan itu, CyberSecurity Malaysia adalah antara pengasas bersama APCERT sejak 2002 dan ini merupakan kali ketiga ia dilantik sebagai Pengerusi selepas pelantikan pertama pada 2007 dan yang kedua pada 2019-2020.
Agensi itu kekal sebagai jawatankuasa pemandu sejak penubuhannya dan akan berterusan sehingga 2021.
-- BERNAMA
#CyberSecurity Malaysia #APCERT #Pengerusi Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Asia Pasifik #Asia Pasifik #agm #mohd azumi mohamed #peraturan digital #Siber #tahan lasak #norma baharu #perkongsian maklumat #selamat
;